BERITA TERKINI   Majlis TVET Negara peruntuk RM1 juta kepada Kolej Yayasan Felda untuk program berkembar dengan UniKL dan UPTM - Ahmad Zahid | Akses perkhidmatan kesihatan di luar bandar akan diperluas dengan manfaat NADI sebagai hab sambungan kepada klinik kesihatan berdekatan - Fahmi | Warga Kementerian Komunikasi dan agensi di bawahnya diseru semarakkan semangat Bulan Kebangsaan dengan mainkan peranan komunikasi efektif - Fahmi | Semua kementerian, pejabat, agensi kerajaan wajib mainkan lagu tema Bulan Kebangsaan di lobi dan program rasmi - Fahmi | Majlis Media Malaysia perlu bantu organisasi media fahami proses akreditasi dan semangat kebebasan media - Fahmi | 

Niaga Hadapan KLCI Dijangka Catat Dagangan Kecil Minggu Depan

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka terus menyaksikan dagangan kecil dengan kecenderungan meningkat pada minggu depan.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata peniaga mengekalkan unjuran lebih berhati-hati dengan sokongan terhadap indeks petunjuk utama FBM KLCI pada paras 1,585 dan seterusnya pada 1,535.

“Kami tidak menjangkakan berlakunya peningkatan daripada paras itu...jika tidak, indeks akan terus dalam mod konsolidasi di sepanjang paras itu bagi tempoh singkat sementara menunggu pemangkin baharu.

“Oleh itu, kami mengunjurkan FBM KLCI akan bergerak dalam julat 1,585-1,610 pada minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, kontrak November 2024 susut tujuh mata kepada 1,587.5, Disember 2024 menguncup lapan mata kepada 1,591.0, Mac 2025 turun 4.5 mata kepada 1,583.0 manakala Jun 2025 berkurangan lima mata kepada 1,591.0.

Jumlah dagangan meningkat kepada 33,554 lot daripada 27,800 lot dalam minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka susut kepada 37,221 kontrak daripada 38,788 kontrak.

Bagi asas Jumaat hingga Jumaat, FBM KLCI turun sebanyak 2.66 mata kepada 1,589.78 daripada 1,592.44 pada minggu lepas.

-- BERNAMA