BERITA TERKINI   Kerja pembinaan pembaikan cerun di Jalan Lojing-Gua Musang dijangka bermula Mac depan - Nanta | Kerajaan peruntuk RM96 juta naik taraf JRTB melibatkan jajaran di Kelantan - Nanta | Penilai bebas mengesahkan sistem aerotren KLIA beroperasi mengikut perancangan - Malaysia Airports | Ketersediaan operasi perkhidmatan aerotren KLIA meningkat 100 peratus pada Disember 2025 berbanding 98.67 peratus pada Julai - Malaysia Airports | Ketersediaan operasi perkhidmatan Aerotrain KLIA meningkat 100 peratus pada Disember 2025 berbanding 98.67 peratus pada Julai - Malaysia Airports | 

TNG Digital Lancar eKYC Sepenuhnya Hari Ini

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Penyedia teknologi kewangan bersepadu terbesar di Malaysia, TNG Digital Sdn Bhd sedang melaksanakan pengesahan elektronik Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital (eKYC) sepenuhnya bermula hari ini.

Syarikat itu berkata semua pengguna baharu kini mesti melengkapkan pengesahan eKYC untuk mengakses ciri eWallet TNG.

Katanya, ini berikutan tempoh penangguhan selama 10 bulan bagi pengguna mengesahkan akaun eWallet TNG mereka dengan pengesahan eKYC mandatori ditetapkan untuk dikuatkuasakan sepenuhnya sebelum 20 Dis, 2024.

“Pengguna bukan eKYC terhad kepada baki eWallet yang rendah selain hanya boleh mengakses ciri pembayaran asas dan tol termasuk tambah nilai kad Komunikasi Medan Dekat (NFC) serta Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

“Bagi pengguna bukan eKYC sedia ada, akses mereka akan disekat secara berperingkat.

"Pengguna ini akan berdepan sekatan yang semakin meningkat sehingga akaun eWallet TNG mereka disahkan sepenuhnya. Mereka akan kehilangan akses kepada eWallet sepenuhnya jika tidak disahkan,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Menurut TNG Digital, pengguna boleh mengesahkan akaun mereka dengan mengetik pilihan ‘Tidak Disahkan’ di halaman profil aplikasi.

Dalam pada itu, pengguna Malaysia boleh menggunakan MyKad atau MyTentera untuk eKYC manakala penduduk tetap Malaysia serta warganegara asing boleh menggunakan pasport masing-masing.

Inisiatif ini bertujuan mengukuhkan perlindungan pengguna, mendedahkan ciri eksklusif selain menekankan komitmen TNG Digital terhadap pematuhan peraturan dan pengurusan risiko.

Dari sudut pandang industri, TNG Digital menekankan pencapaian pengesahan eKYC sepenuhnya dalam kalangan penggunanya selain meningkatkan keupayaan untuk mengenal pasti dan menghapuskan akaun keldai (mule account) serta aktiviti penipuan, sekali gus melindungi integriti ekosistem.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Alan Ni berkata langkah ini penting untuk meningkatkan keselamatan platform dan mengurangkan risiko pengambilalihan akaun.

"Keselamatan adalah keutamaan utama kami di TNG Digital. Melaksanakan eKYC sepenuhnya adalah langkah berani, namun perlu selain menjadikan kami eWallet pertama yang mengambil langkah ini. Melindungi pengguna kami adalah perkara yang tidak boleh dipertikaikan," katanya.

Ni juga berkata TNG eWallet mengekalkan kadar penipuan iaitu 90 peratus lebih rendah daripada purata pasaran untuk pembayaran kad dan kejayaan itu dikaitkan dengan langkah keselamatan yang kukuh serta komitmen syarikat terhadap perlindungan pengguna.

-- BERNAMA