BERITA TERKINI   Sukan SEA 2025: Atlet lontar peluru wanita negara Nani Sahirah Maryata cipta kejutan rangkul emas, pecah rekod kebangsaan dengan catatan 16.36 meter | Ringgit ditutup dengan terus melonjak, mencecah 4.09 berbanding dolar AS - paras paling kukuh dalam tempoh empat tahun dan tujuh bulan | MCMC peruntuk dana RM310 juta bangunkan infrastruktur kesalinghubungan inisiatif Bandar Pintar Negeri Melaka - Fahmi  | Belanjawan Sabah 2026: Penjawat awam negeri terima Bantuan Khas Kewangan sebulan gaji atau minimum RM2,000 - Masidi | Belanjawan Sabah 2026 catat belanjawan lebihan RM28 juta – Masidi Manjun | 

Viasfood Lancar Dua Sos Pencicah Untuk Pasaran Tempatan, Antarabangsa

Oleh Zarul Effendi Razali

DUBAI, 19 Nov (Bernama) -- Viasfood Sdn Bhd, penyedia perkhidmatan pengeluar makanan yang berpangkalan di Pahang memperkenalkan dua sos pencicah iaitu Sos Musang King dan Pes Sambal Hitam untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

Pelancaran produk itu diadakan sempena ekspo MIHAS@Dubai 2024, yang berlangsung dari 18-20 Nov, 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif Jismi Asmawi berkata Sos Musang King dihasilkan daripada durian Musang King sebagai asasnya dan boleh digunakan sebagai sos pencicah, salad dressing, sapuan roti atau digandingkan dengan nasi.

“Pes Sambal Hitam adalah warisan masakan Pahang dan Sambal Hitam Pahang mempunyai jangka hayat sehingga dua tahun tanpa menjejaskan rasanya,” kata beliau kepada Bernama selepas pelancaran produk itu di sini, hari ini.

Selain melancarkan produk itu, beliau berkata Viasfood turut memperkenalkan identiti korporat yang diperbaharui, termasuk logo yang diubah suai dan reka bentuk pembungkusan yang inovatif.

“Identiti baharu yang berani ini mencerminkan visi kami untuk pertumbuhan dan dedikasi bagi memartabatkan kecemerlangan budaya dan masakan Malaysia. Kami teruja untuk berkongsi pencapaian ini dengan dunia dan berharap mencipta peluang-peluang baharu yang akan mempamerkan cita rasa Malaysia yang kaya di pentas global,” katanya.

Pelancaran produk dan penjenamaan korporat baharu itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bersama beberapa tokoh terkenal termasuk Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz. 

MIHAS@Dubai 2024 dianjurkan oleh MATRADE dan DXN sebagai rakan strategik, Bubbles sebagai rakan kongsi minuman pilihan dan Westport sebagai rakan logistik.

Ia diadakan seiring dengan Ekspo Produk Organik & Asli Timur Tengah yang disokong oleh Kementerian Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Emiriah Arab Bersatu (UAE).

-- BERNAMA