BERITA TERKINI   Kira-kira 60 peratus kawasan penyimpanan lori dan minyak enjin lori di Taman Kota Puteri musnah terbakar, tiada mangsa terlibat - Bomba Johor | Malaysia akan perluas pasaran minyak sawit ke negara yang belum pernah jadi pembeli - Johari | Pemeriksaan kesihatan sebahagian komitmen PM untuk pastikan beliau kekal cergas terajui pentadbiran negara - Pengarah Hospital Serdang | PM Anwar jalani pemeriksaan kesihatan tahunan, kesihatan berada dalam keadaan sangat baik - Pengarah Hospital Serdang | Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di tujuh negeri serta Labuan sehingga 5 petang ini - MetMalaysia | 

TCS Group Raih Kontrak Bernilai RM611.30 Juta Untuk Projek Lebuh Raya Pan Borneo Di Sabah

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) --  Anak syarikat milik penuh TCS Group Holdings Bhd, TCS Construction Sdn Bhd (TCSC) meraih kontrak bernilai RM611.30 juta daripada Jabatan Kerja Raya Sabah bagi pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Fasa 1B.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata projek berkenaan melibatkan pembinaan lebuh raya baharu dan kerja-kerja menaik taraf jalan raya, melibatkan laluan sepanjang 18.2 kilometer antara Telupid dan Kampung Lumou Baru, yang akan dinaik taraf menjadi dua laluan, termasuk empat jambatan baharu.

"Tempoh kontrak adalah selama 42 bulan, yang akan bermula pada 20 Dis, 2024 dan dijadualkan siap pada 19 Jun, 2028," katanya. 

Pengarah Urusan TCS Datuk Tee Chai Seng berkata kontrak itu meningkatkan nilai perolehan kontrak kumpulan itu dan memberikan kejelasan pendapatan yang lebih baik untuk tahun-tahun akan datang.

"Kami yakin dengan masa depan industri pembinaan berikutan lebih banyak projek sektor kerajaan dan swasta dilaksanakan," katanya.

-- BERNAMA