BERITA TERKINI   Grid tenaga yang tersambung dengan baik mampu jadikan ASEAN sebagai hab bagi industri dan teknologi tenaga bersih - PM | PM gesa Negara Anggota ASEAN gandakan usaha percepat projek kesalinghubungan, selaras rangka kerja peraturan | PM Anwar puji usaha dan keupayaan ASEAN menarik penyertaan institusi utama dan sektor swasta bagi memastikan kejayaan pembiayaan Grid Kuasa ASEAN | Grid Tenaga ASEAN adalah tunjang kerjasama serantau yang menghubungkan aspek kemampanan, keselamatan dan kemampuan sebenar - PM | 

Ringgit Ditutup Tinggi Berbanding Dolar As

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS pada Selasa, pulih daripada penurunan semalam berikutan permintaan yang lemah untuk dolar AS, kata seorang penganalisis. 

Pada 6 petang, mata wang tempatan itu mengukuh pada 4.4705/4750 berbanding dolar AS 4.4765/4820 ketika ditutup pada Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit terus pulih hari ini, dengan gandingan dolar AS/Ringgit tinggi pada RM4.4738 pada sesi pagi dan pulih kepada RM4.4645 pada sesi petang.

"Keghairahan terhadap Donald Trump 2.0 mungkin telah reda berikutan peniaga dan pelabur mula menilai semula kemungkinan dasar-dasar yang akan dilaksanakan oleh Presiden terpilih itu tahun depan.

"Pasaran kewangan mungkin menilai terlalu tinggi terhadap keadaan yang bakal berlaku, menyebabkan pelabur beralih kepada aset yang lebih selamat. Namun begitu, sentimen pasaran akan terus berwaspada dan cenderung lebih berhati-hati," katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Ia naik berbanding pound Britain kepada 5.6449/6506 daripada 5.6525/6594 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.7150/7198 daripada 4.7294/7352. 

Bagaimanapun, ia susut berbanding yen Jepun kepada 2.9078/9109 daripada 2.8914/8953.  

Prestasi mata wang tempatan itu juga bercampur-campur berbanding mata wang serantau.

Ia menokok berbanding peso Filipina kepada 7.60/7.61 daripada 7.63/7.64 dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 282.1/282.5 daripada 282.2/282.7.  

Bagaimanapun, ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.3345/3381 daripada 3.3307/3351 dan turun berbanding baht Thai kepada 12.9201/9384 daripada 12.8591/8808. 

-- BERNAMA