BERITA TERKINI   RM254 juta diperuntukkan bagi program pembangunan koperasi tahun ini, tertinggi sejak penubuhan gerakan koperasi pada 1922 - Steven Sim. | Ladang Solar KLIA dijangka kurangkan pelepasan karbon dioksida sehingga 35,000 tan setahun - Fadillah | Inisiatif Ladang Solar KLIA sokong sasaran Malaysia capai 70 peratus penggunaan tenaga boleh baharu menjelang 2050 - Fadillah | Pelancaran Ladang Solar dan sistem penstoran tenaga (BESS) sokong operasi KLIA sebagai infrastruktur pengangkutan kritikal negara - TPM Fadillah | Dua PPS tempatkan mangsa kebakaran tanah gambut di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai, Pengerang ditutup hari ini - Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kota Tinggi | 

Ringgit Dibuka Tinggi Berbanding Dolar AS

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Ringgit terus mencatatkan kenaikan pada Isnin, didorong oleh keyakinan terhadap prospek domestik Malaysia, yang mengimbangi kebimbangan mengenai hala tuju kadar faedah Amerika Syarikat (AS). 

Pada 8.03 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.4680/4780 berbanding dolar AS daripada 4.4715/4780 pada Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata data ekonomi Malaysia pada suku ketiga 2024 menunjukkan ekonomi berada pada landasan untuk mencatatkan pertumbuhan yang lebih kukuh pada tahun ini.

Beliau berkata kestabilan politik dan komitmen yang berterusan terhadap pembaharuan telah meningkatkan tarikan negara sebagai destinasi pelaburan.

“Pada masa yang sama, peniaga dan pelabur berasa bimbang mengenai sama ada Trump akan meneruskan agenda penurunan tarif dan cukai yang ketara.

“Dasar sedemikian dilihat bersifat inflasi, yang boleh menjelaskan alasan Pengerusi Fed mewujudkan keraguan mengenai langkah pelonggaran monetari minggu lepas.

“Oleh itu, kami menjangka dagangan dolar-ringgit berada dalam jajaran kecil berikutan pasaran berdepan ketidaktentuan sehingga pelantikan Presiden AS yang baharu pada 20 Januari tahun depan,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Afzanizam berkata ringgit dijangka mengalami pembetulan berdasarkan kedudukannya yang terlebih jual.

Pada Jumaat lepas, Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour mengumumkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.3 peratus pada suku ketiga 2024. 

Beliau turut menyambut baik pengguguran Malaysia daripada senarai pemantauan manipulasi mata wang AS sekali gus mengesahkan status ringgit yang dipacu pasaran.

Ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding pound kepada 5.6368/6494 daripada 5.6573/6656 pada Jumaat lepas dan meningkat berbanding euro kepada 4.7066/7171 daripada 4.7224/7292.

Bagaimanapun, ringgit rendah berbanding yen Jepun kepada 2.8936/9003 daripada 2.8774/8818.

Mata wang tempatan mencatatkan prestasi bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia mengukuh berbanding peso Filipina kepada 7.60/7.63 daripada 7.61/7.63, meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 281.4/282.2 daripada 281.6/282.2 dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.3284/3361 daripada 3.3330/3381.

Bagaimanapun, ringgit merosot berbanding baht Thailand kepada 12.8383/8789 daripada 12.8307/8541 sebelum ini.

-- BERNAMA