BERITA TERKINI   Ringgit susut kepada 3.9620/9670 berbanding dolar AS daripada 3.9530/9585 pada Selasa | MIC kekal bersama Barisan Nasional, tidak sertai Perikatan susulan perubahan kepimpinan - Saravanan | JPA diarah rangka program tingkat profesionalisme PDRM, kebajikan jadi keutamaan termasuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi - PM Anwar | Kerajaan beri jaminan tidak campur tangan dalam tugas PDRM, akan beri dorongan untuk bertindak terus dengan berani - PM Anwar | Perolehan KDN yang dibekukan sebelum ini kini dilepaskan semula - PM Anwar | 

Kelantan Harap RMK13 Pertimbang Pelaburan Strategik Dalam Sektor Pembuatan

KOTA BHARU, 17 Nov (Bernama) -- Kerajaan Kelantan berharap agar Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) akan menimbangkan pelaksanaan pelbagai pelaburan strategik dalam sektor pembuatan di negeri itu bagi meningkatkan produktiviti dan pendapatan rakyat, di samping menarik lebih banyak pelaburan ke Kelantan.

Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata kerajaan negeri telah mengenal pasti beberapa kawasan yang berpotensi sebagai kawasan perindustrian baharu seperti kawasan seluas 1,500 ekar di Jeli, Gua Musang (2,000 ekar) dan 2,800 ekar di Tok Bali, Pasir Puteh serta Cargo Oriented Development di Stesen Cherang Tuli, Pasir Puteh berkeluasan 800 ekar.

Beliau berkata kerajaan negeri juga berharap agar Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan untuk melaksanakan dan mempercepatkan beberapa projek di Kelantan dalam usaha memajukan dan menarik pelabur ke negeri ini.

“Antara projek yang kita mahu pertimbangan daripada Kerajaan Pusat adalah menyegerakan pembinaan Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (CSR), Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai dan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT 3),” katamya pada Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke-13, (RMK-13) Kementerian Ekonomi bersama Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Selain itu Kelantan juga berharap dapat mempercepatkan penyelesaian infrastruktur bekalan air bersih dengan penggantian paip-paip lama yang kritikal di seluruh Kelantan dan pembinaan loji-loji rawatan air baharu terutamanya di kawasan-kawasan industri baharu.

-- BERNAMA