BERITA TERKINI   Liga Super: Kuching City FC 4-0 Melaka FC | Sukan SEA 2025: Skuad ekuestrian polo negara raih pingat emas kategori 4-6 Goals | Liga Super: Imigresen FC 2-3 Terengganu FC | Liga Super: Penang FC 3-0 PDRM FC | Sukan SEA 2025: Gandingan penerjun negara Yong Rui Jie-Nurqayyum Nazmi rangkul emas 3m papan anjal seirama lelaki | 

Malaysia Dan Peru Kukuhkan Kerjasama Ekonomi Terutama Dalam Sektor Halal

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Menerusi Memorandum Persefahaman (MOU) terbaru, Malaysia akan menyokong usaha Peru untuk membangunkan rangka kerja pensijilan halal, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata usaha itu sekali gus memperkukuh kedudukan Peru dalam pasaran halal global yang sedang pesat berkembang meliputi pelbagai industri.

Pihak Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah menyusun mesyuarat meja bulat yang mengumpulkan 17 syarikat Malaysia dan 18 syarikat Peru, membuka peluang kerjasama dalam sektor penting seperti kewangan, tenaga boleh baharu, halal, dan logistik, katanya.

“Dengan rangkaian Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang komprehensif, Malaysia bukan sahaja menjadi pintu masuk ke pasaran ASEAN, malah juga menawarkan akses yang lebih luas kepada syarikat Peru untuk berkembang di rantau Asia-Pasifik,” menurut catatan di platform X beliau pada Khamis.

Beliau juga menyatakan keyakinan bahawa kerjasama itu akan membawa manfaat ekonomi yang besar dan membuka peluang baharu bagi rakyat kedua-dua negara.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, Malaysia komited untuk meningkatkan integrasi serantau dan memanfaatkan kerjasama yang lebih kukuh, termasuk dalam industri halal.

-- BERNAMA