BERITA TERKINI   BUDI MADANI: BUDI Agri-Komoditi diteruskan secara bersasar demi bantu pekebun kecil, pengusaha dan golongan rentan - PM Anwar | Untung bersih Axiata meningkat kepada RM273.80 juta pada suku pertama 2026 daripada RM159.84 juta bagi tempoh sama 2025 | MISC Bhd raih untung bersih lebih tinggi sebanyak RM741.4 juta bagi suku pertama 2026 berbanding RM705.7 juta pada suku sama 2025 | Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) disaran teroka potensi eksport produk sawit ke pasaran baharu -- Akmal Nasrullah | KPK teliti langkah mitigasi jangka sederhana dan panjang, termasuk pengukuhan kawalan harga dan anti pencatutan dalam input pertanian -- Akmal Nasrullah | 

Kerajan Peruntuk RM7.063 Bilion Suntikan Modal Biayai Kewangan Syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM7.063 bilion sebagai suntikan modal bagi membiayai komitmen kewangan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata sebahagian besar suntikan modal itu merupakan tanggungan komitmen kewangan bagi tujuan bayaran prinsipal dan kupon hutang syarikat yang membiayai projek infrastruktur dan pembangunan negara.

Menurutnya, antara projek infrastruktur terbabit seperti DanaInfra dengan bayaran prinsipal RM3.4 bilion untuk membiayai projek Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT) dan Lebuhraya Pan Borneo (Sarawak) dan Prasarana dengan pembayaran prinsipal RM2.3 bilion untuk sukuk yang membiayai LRT3 dan perbelanjaan modal.

Selain itu, Jambatan Kedua Sdn Bhd dengan prinsipal mencecah RM1 bilion yang membiayai projek Jambatan Kedua Pulau Pinang dan Ocean Sunshine yang telah mengambil alih projek menyiapkan 5 Littoral Combat Ship, yang kini mengikut jadual dengan mencapai 70 peratus kemajuan.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata berikutan penstrukturan semula Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), kerajaan bersetuju mengambil alih litar Antarabangsa Sepang dengan bayaran dibuat secara ansuran dalam tempoh lapan tahun mulai 2023 sehingga 2030.

Katanya, bayaran bagi sepanjang tempoh tersebut adalah berjumlah RM46 juta setahun.

-- BERNAMA