BERITA TERKINI   Hak-hak negeri perlu dihormati, namun kepentingan Malaysia secara bersama hendaklah sentiasa diutamakan - Agong | Agong ingatkan setiap perbahasan, keputusan dan undian di Parlimen bakal menentukan masa depan negara | Sistem pendidikan baharu mesti selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan, Bahasa Melayu diutamakan - Agong | Undang-undang berkaitan keselamatan negara dan ancaman luar wajar diwujudkan segera, pastikan keharmonian semua kaum dan kedaulatan negara - Agong | Bukan hanya penerima rasuah tetapi pemberi dan ejen yang bersubahat turut perlu diambil tindakan - Agong | 

Straits Mobile Investment Bersetuju Kurangkan Pegangan Saham Dalam U Mobile Kepada 20 Peratus

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Straits Mobile Investment Pte Ltd, yang dimiliki sepenuhnya oleh ST Telemedia, bersetuju dengan penyelarasan strategik pemilikan pegangan sahamnya dalam U Mobile kepada 20 peratus daripada 49 peratus, sekali gus meningkatkan peratusan pemilikan tempatan.

Menurut U Mobile, pihaknya bersedia untuk menerajui rangkaian 5G kedua sejajar dengan keutamaan negara, melalui pengukuhan penglibatan dan penyertaan syarikat tempatan dalam infrastruktur telekomunikasi yang penting.

“Walaupun pemilikan oleh syarikat asing dalam sektor telekomunikasi merupakan perkara biasa, namun strategi U Mobile mengutamakan pertumbuhan ekonomi dan pengukuhan pemilikan oleh entiti tempatan.

“Peningkatan pemilikan tempatan ini menyokong dedikasi U Mobile kepada kepentingan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

U Mobile berkata pihaknya yakin rangkaian 5G yang kedua dapat menyediakan perkhidmatan yang lebih baik dan lebih mampu milik untuk rakyat menerusi pengekalan persaingan yang sihat.

“U Mobile akan terus memperkenalkan produk dan perkhidmatan baharu, pada masa yang sama melancarkan rangkaian 5G kedua dan memberi jaminan kepada semua pihak berkepentingan bahawa ia akan terus disokong tanpa kebergantungan kepada kerajaan,” katanya.

-- BERNAMA