BERITA TERKINI   Pada 6 petang ini, ringgit mengukuh di paras 4.0245/0320 berbanding dolar AS daripada 4.0295/0350 Jumaat lepas | Misi bawa 30 kontena bantuan kemanusiaan bakal beri manfaat kepada kira-kira 100,000 penduduk Palestin - MB Selangor | Misi bantuan kemanusiaan Global Sumud Flotilla 2.0 libatkan hampir 3,000 peserta dari kira-kira 100 negara - MB Selangor | Weststar Aviation Services menyasar untuk menambah jumlah pesawat kepada 60 daripada 32 dalam tempoh dua tahun | Kos operasi Weststar Group kekal tidak terjejas dengan harga minyak dan gas semasa kerana perbelanjaan bahan api dianggap pelepasan kos mengikut kontrak | 

Untung Bersih 99 Speed Mart Suku Ketiga Susut Kepada RM107.16 Juta

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Keuntungan bersih 99 Speed ​​Mart Retail Holdings Bhd (99 Speed Mart) bagi suku ketiga yang berakhir pada 30 Sept, 2024 turun kepada RM107.16 juta berbanding RM111.05 juta pada suku yang sama tahun lepas. 

Menurut 99 Speed ​​Mart dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, perolehan kumpulan bagaimanapun melonjak 8.8 peratus kepada RM2.55 bilion berbanding RM2.34 bilion sebelumnya, didorong terutamanya oleh pengembangan rangkaian kedai berkenaan.

Dalam tinjauan suku semasa, kumpulan itu menyaksikan bilangan cawangan yang meningkat iaitu sebanyak 51, menjadikan jumlahnya kepada 2,697 cawangan setakat 30 Sept, 2024.

“Sejajar itu, jumlah transaksi jualan juga meningkat sebanyak 11.9 peratus tahun ke tahun kepada 120.2 juta transaksi pada suku semasa berbanding suku yang sama tahun lepas, walaupun ini sebahagiannya diimbangi oleh saiz bakul purata yang lebih rendah, yang menyusut sebanyak 2.8 peratus kepada RM21.20.

"Platform jualan pukal dalam talian kumpulan, yang dilancarkan pada Disember 2023, telah diperluaskan dari Lembah Klang ke selatan Semenanjung pada Julai 2024 selain telah mengukuhkan lagi impak positif platform ini yang menyumbang kira-kira RM7.4 juta dalam perolehan tambahan sepanjang suku ketiga 2024," katanya.

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 Sept, 2024, keuntungan bersih 99 Speed Mart meningkat kepada RM365.84 juta berbanding RM293.69 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas manakala perolehan meningkat kepada RM7.39 bilion berbanding RM6.80 bilion sebelumnya.

Mengenai prospek, kumpulan itu berkata ia tetap teguh dalam usaha mengembangkan rangkaian cawangannya di seluruh negara dengan penekanan khusus kepada mengoptimumkan aliran peolehan dan meningkatkan kecekapan operasi.

"Faktor-faktor ini adalah penting dalam mendorong prestasi kewangan yang kukuh dan meningkatkan nilai pemegang saham.

“Ketika kami terus mengemudi kerumitan pasaran, tumpuan kekal kepada memupuk inovasi dan meningkatkan penglibatan pelanggan untuk memacu pertumbuhan yang mampan,” katanya.

-- BERNAMA