BERITA TERKINI   Pemegang MyKad lama tidak diwajibkan menukar MyKad baharu yang diperkenal pada Jun ini - Saifuddin Nasution | MyNIISe dijangka bantu kurangkan isu kesesakan di pintu-pintu utama negara - Saifuddin Nasution | Tarikh melihat anak bulan Zulhijah bagi Hari Raya Aidiladha ditetapkan 17 Mei - Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja | Seorang pemandu van mengaku tidak bersalah atas tuduhan memandu melulu hingga menyebabkan kematian seorang kanak-kanak perempuan di Batu Pahat Selasa lepas | PM Anwar tiba untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 yang diadakan di Cebu, Filipina | 

Malaysia Catat Eksport Produk Halal Berjumlah RM45.04 Bilion Setakat Januari-September 2024

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Jumlah eksport produk halal negara setakat Januari sehingga September 2024 berjumlah RM45.04 bilion berbanding RM39.36 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada 2023.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Liew Chin Tong bagaimanapun berkata keupayaan Malaysia untuk menguasai pasaran halal masih terbatas kerana pengeluaran sijil halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Malaysia masih rendah.

“Kajian awal Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP2030) yang dijalankan menunjukkan bahawa anggaran nilai pasaran halal global ialah RM5 trilion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 di peringkat dasar bagi Kementerian MITI di Dewan Rakyat hari ini.

Liew menjelaskan persoalan berkenaan isu penggabungan agensi Halal Development Corporation Bhd (HDC) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) yang dibangkitkan oleh beberapa ahli parlimen.

Justeru, katanya dalam usaha negara untuk menggandakan nilai eksport produk halal dan juga membantu mencari pasaran sasaran, penggabungan HDC dengan MATRADE adalah satu keputusan yang wajar.

Katanya ini kerana MATRADE mempunyai rangkaian pasaran sedia ada yang boleh dipelopori oleh pemain industri halal negara.

“MITI berpandangan inisiatif penggabungan ini akan meningkatkan sinergi kerjasama HDC-MATRADE dan mengoptimumkan sumber-sumber sedia ada terutama dalam mempromosikan industri halal supaya lebih efektif dan berdaya saing.

“Pada masa yang sama, usaha untuk melahirkan juara halal tempatan akan lebih tertumpu kepada pemain-pemain industri yang serius untuk menerokai pasaran eksport,” katanya.

-- BERNAMA