BERITA TERKINI   ASEAN hargai kesediaan Negara Senjata Nuklear menyokong Protokol SEANWFZ - Mohamad Hasan | ASEAN perlu bertindak secara kolektif untuk mewujudkan keadaan yang membolehkan Negara Senjata Nuklear meratifikasi SEANWFZ - Mohamad Hasan | Menegakkan hak asasi manusia penting bagi membentuk ASEAN yang berdaya tahan, dinamik dan berpaksikan manusia - Mohamad Hasan | Mesyuarat AICHR diadakan hari ini sempena bermulanya fasa baharu di bawah Visi ASEAN 2045 - Mohamad Hasan | Tragedi Sg Korok: Kerajaan teliti cadangan bina pagar penghadang dan pasang lampu jalan di Jalan Sungai Korok, Jitra - TPM Ahmad Zahid | 

Pertumbuhan Pembayaran Digital Di Asia Tenggara Adalah Pencetus Perubahan - Ant International

Daripada Fatin Umairah Abdul Hamid

SINGAPURA, 6 Nov (Bernama) -- Ekosistem pembayaran digital di Asia Tenggara sedang berkembang pesat, menggabungkan pendekatan inovatif dan mewujudkan peluang yang belum pernah terjadi sebelum ini.

Ia merupakan pencetus perubahan kepada pengguna dan peniaga, kata syarikat perkhidmatan digital antarabangsa, Ant International.

Presidennya Douglas Feagin berkata Asia Tenggara telah mencapai kemajuan luar biasa dalam tempoh lima hingga tujuh tahun lepas, pembayaran digital sudah menghampiri menjadi kebiasaan bagi menjalankan urus niaga di China.  

"Pembayaran digital kini digunakan secara meluas bukan bagi beberapa negara sahaja,” katanya pada sesi panel ‘Defining the New Commerce across Borders: Cross-Border Payments and How it Benefits the Local and Regional Economy’ di Singapore FinTech Festival 2024.

Sebagai sebuah syarikat perkhidmatan digital yang berpangkalan di Singapura, Ant International menawarkan perkhidmatan kewangan dan pembayaran kepada perniagaan dan komuniti di seluruh dunia.

Bagi peniaga pula, Feagin berkata objektif utamanya adalah untuk menarik lebih ramai pelanggan dan meningkatkan jumlah transaksi.

Pembayaran digital membantu peniaga mencapai matlamat ini, pada masa sama membolehkan mereka menawarkan lebih daripada sekadar pemprosesan pembayaran asas.

Melalui platform digital, Feagin menekankan bahawa peniaga boleh menyediakan pelanggan dengan produk dan perkhidmatan baharu yang boleh diakses walaupun mereka melancong ke luar negara.

"Pendekatan ini adalah anjakan perubahan untuk peniaga, membantu mereka menarik pelanggan baharu dan meningkatkan jualan daripada sedia ada," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pengguna terutamanya pengembara, pembayaran digital memberikan pengalaman yang lancar dalam persekitaran baharu dengan menawarkan pilihan pembayaran mudah dan maklumat mengenai perkhidmatan tempatan.

“Menerusi platform pembayaran digital, pengembara boleh mencari perkhidmatan tersedia dengan mudah dan membayar dengan mudah melalui aplikasi digital mereka,” katanya.

-- BERNAMA