BERITA TERKINI   NAIO sedang membangunkan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030 untuk menetapkan hala tuju penggunaan AI yang bertanggungjawab dan inovatif pada masa depan -- Gobind Singh | Mohamad Sabu terima rawatan rutin di IJN, keadaan stabil dan dinasihatkan berehat kerana terdapat simptom keletihan - Pejabat Menteri | SPR ambil maklum pembubaran DUN Sabah, mesyuarat khas akan diadakan bincang tarikh penting PRN | Kerajaan optimis sektor inap desa jana pendapatan sehingga RM200 juta pada 2026, tarik lima juta pelancong menjelang 2030 - Ahmad Zahid | Kerajaan mahu inap desa jadi kebanggaan, simbol hospitaliti negara di mata dunia pada Tahun Melawat Malaysia 2026 - Ahmad Zahid | 

Niaga Hadapan MSM Meningkat Melebihi RM4,900 Susulan Kadar Eksport Lebih Kukuh

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Rabu kerana harga meningkat melebihi RM4,900 setiap tan untuk kontrak penanda aras Januari 2025, kata seorang peniaga.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata sentimen pasaran yang positif disokong oleh kadar eksport yang lebih kukuh dan ringgit yang lebih lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

"Kami melihat paras sokongan pada RM4,800 setiap tan dan paras rintangan pada RM4,950 setiap tan," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Penganalisis Kanan Fastmarket Palm Oil Analytics Sathia Varqa berkata niaga hadapan MSM kembali memperoleh momentum pembelian, didorong oleh jangkaan prospek harga yang meningkat.

"Para peniaga menjangkakan prospek harga yang meningkat berdasarkan naratif bekalan yang terhad daripada seorang penganalisis terkemuka di salah sebuah persidangan minyak sawit terbesar di dunia yang akan bermula esok di Bali, Indonesia," katanya.

Persidangan tersebut dianjurkan oleh Persatuan Minyak Sawit Indonesia (IPOC) yang lebih dikenali sebagai GAPKI.

Sathia turut berkata ringgit ditutup pada RM4.40 berbanding dolar AS, sebagai tindak balas kepada pergerakan tidak menentu dalam dolar AS menjelang keputusan penetapan kadar faedah penanda aras Rizab Persekutuan AS pada Khamis.

"Ditambah dengan ketidaktentuan pasaran mata wang dan kewangan, terdapat kebimbangan mengenai ketidaktentuan Pilihan Raya Presiden AS yang menunjukkan kemungkinan kembalinya Donald Trump," katanya.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta November 2024 meningkat RM85 kepada RM4,999 setiap tan, Disember 2024 melonjak RM102 kepada RM4,957 setiap tan dan Januari 2025 berkembang RM111 kepada RM4,917 setiap tan.

February 2025 menokok RM117 kepada RM4,862 setiap tan, Mac 2025 bertambah RM114 kepada RM4,777 setiap tan dan April 2025 meningkat RM107 kepada RM4,677 setiap tan.

Jumlah dagangan susut kepada 78,859 lot daripada 84,057 lot pada Selasa manakala kepentingan terbuka berkembang kepada 243,835 kontrak daripada 240,020 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal untuk November Selatan meningkat RM40 kepada RM5,020 setiap tan.

-- BERNAMA