BERITA TERKINI   Belanjawan 2026: Kerajaan Persekutuan peruntuk RM1.2 bilion, jamin kelangsungan bekalan elektrik di Sabah. | Belanjawan 2026: RM1.67 bilion diperuntukkan tahun hadapan bagi membolehkan Pan Borneo Sabah dapat dilaksana mengikut jadual | Belanjawan 2026: RM1.67 bilion disediakan untuk Pan Borneo Sabah dilaksana mengikut jadual tahun hadapan | Belanjawan 2026: Penjawat awam sahut cabaran untuk terus mempercepatkan proses, prosedur kerja - KSN | Bantuan Khas Kewangan RM500 dapat meningkatkan motivasi penjawat awam dalam melaksanakan tugas, perkasa penyampaian perkhidmatan - KSN | 

KPK Rangka Inisiatif Transformasikan Sektor Agrikomoditi Jadi Pekerjaan Berasaskan Teknologi

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) telah merangka beberapa inisiatif bagi mentransformasikan sektor agrikomoditi daripada pekerjaan berasaskan buruh kepada pekerjaan berasaskan teknologi.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin berkata antara inisiatif tersebut termasuklah menggalakkan penggunaan jentera mekanisasi dan automasi, memperkukuhkan pembangunan modal insan melalui penyediaan latihan kemahiran dan penawaran latihan kemahiran yang berstruktur.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa menggalakkan penggiat industri untuk melaksanakan penggunaan jentera berteraskan Internet Pelbagai Benda (IoT), peralatan mekanisasi dan automasi di sektor perladangan sawit, antaranya kerja-kerja menyembur racun dan membaja tanaman menggunakan dron.

“Mekanisasi bukan sahaja mempercepat proses kerja dan meningkatkan produktiviti tetapi juga membantu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manual dan buruh asing.

“Selain itu, kerajaan turut memberikan insentif pengecualian cukai melalui Elaun Modal Dipercepat bagi membolehkan pemain industri di sektor komoditi menerima manfaat atas pelaburan aset tetap serta penambahbaikan yang telah mereka laksanakan seperti teknologi perladangan pintar, automasi dan mekanisasi serta IoT,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan yang dikemukakan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) berhubung perancangan KPK mentransformasikan sektor agrikomoditi daripada sektor buruh menjadi sektor berkemahiran tinggi dan berasaskan teknologi baharu untuk menarik penyertaan belia tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh asing.

Chan berkata KPK melalui Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia turut menawarkan pelbagai program kemahiran antaranya, Kursus Operasi Mekanisasi Ladang di PLASMA, Keratong Pahang, Sijil Teknologi Getah di Akademi Hevea Malaysia di Sungai Buloh, Selangor dan Sijil Operasi Pembuatan Perabot di WISDEC Banting, Selangor.

“Latihan kemahiran ini dapat meningkatkan skill set (kemahiran) dan kompetensi pekerja yang berkemahiran tinggi,” katanya.

Beliau berkata penawaran modul latihan kemahiran yang berstruktur adalah berasaskan pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan memenuhi Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia Tahap 2 dan 3 serta turut mendapat akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia.

“Majoriti graduan yang mengikuti bidang ini telah ditawarkan pekerjaan, dan inisiatif yang dilaksanakan ini dapat menawarkan laluan kerjaya yang lebih baik kepada golongan muda yang menyertai TVET di sektor agrikomoditi,” katanya.

-- BERNAMA