BERITA TERKINI   Raja Permaisuri Agong titah UTM jalankan kajian pengaruh media sosial terhadap murid, pelajar - Istana Negara  | Raja Permaisuri Agong pandang serius kes rogol di sekolah, titah rujuk modul kempen TinDak wujudkan persekitaran sekolah selamat - Istana Negara | Kes tikam pelajar perempuan: Pentadbir sekolah akan dipindahkan ke Pejabat Pendidikan Daerah hingga siasatan selesai - KP KPM | KPM bekerjasama rapat dengan PDRM bagi perkukuh pemantauan keselamatan di sekolah seluruh negara - KP | KPM tidak anggap kes tikam pelajar dan salah laku seksual sebagai kes terpencil - KP | 

5,000 Pengunjung Meriahkan Karnival Kita Peduli mySalam

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Penganjuran Karnival Kita Peduli mySalam yang diadakan di sebuah pusat beli-belah di Klang, Selangor hari ini mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran 5,000 pengunjung.

Great Eastern Takaful Berhad (GETB) selaku pengurus skim perlindungan kesihatan percuma kerajaan itu memberikan jaminan untuk terus memperkukuh usaha mempromosikan inisiatif bantuan itu melalui penganjuran karnival berkenaan.

Ketua Skim Perlindungan mySalam Great Eastern Takaful Syuhaib Ithnin berkata mereka prihatin terhadap segmen masyarakat berpendapatan rendah (B40) yang amat memerlukan bantuan perlindungan kesihatan percuma terutamanya apabila didiagnosis dengan penyakit kritikal atau dimasukkan ke hospital.

"Menerusi semakan dan tuntutan manfaat mySalam, ia dapat membantu meringankan beban kewangan dalam menguruskan kesihatan dan rawatan dengan lebih baik. Karnival Kita Peduli bukan sahaja bermatlamat meningkatkan kesedaran mengenai mySalam malah kami turut mengambil peluang memberikan pendedahan tentang literasi kewangan. 

"Ini supaya masyarakat lebih cakna akan kepentingan pengurusan kewangan ke arah kestabilan ekonomi diri dan keluarga. Kami tidak hanya bertumpu kepada aspek simpanan dan pelaburan tetapi juga memberikan informasi untuk mengelakkan hutang berlebihan dan lebih bersedia jika hilang sumber pendapatan dengan perancangan awal," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Syuhaib juga memaklumkan setakat ini, skim mySalam yang dilancarkan sejak 2019 telah menerima hampir dua juta tuntutan yang memanfaatkan lebih 1.35 juta penerima dengan pembayaran tuntutan lebih RM1.05 bilion.

Selain itu, GETB juga memaklumkan kerjasama dengan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) bagi menyalurkan informasi berkaitan mySalam kepada ahlinya yang terdiri penggiat seni dan warga kerja industri hiburan. 

Menerusi kenyataan sama, Timbalan Presiden Persatuan Karyawan Radhi Khalid berkata semakan awal menunjukkan lebih separuh ahli Karyawan layak menerima manfaat mySalam iaitu sekitar 3,000 ahli. 

"Dengan 1001 manfaat yang ditawarkan, program ini amat membantu saat kita ditimpa musibah. Ini satu inisiatif kerajaan yang luar biasa untuk rakyat Malaysia maka jangan lepaskan peluang ini," katanya.

-- BERNAMA