BERITA TERKINI   Bursa sasar permodalan pasaran IPO RM28 bilion tahun ini daripada RM27.4 bilion pada 2025 dengan tumpuan kepada penyenaraian yang lebih besar dan berkualiti tinggi - Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia | Kerajaan sedang gubal Akta Keterjaminan Makanan Negara, asas perundangan kukuh pelihara kedaulatan makanan - TPM Fadillah | Dasar Keterjaminan Makanan Negara (DKMN) 2030 pacu transformasi sektor agromakanan negara - TPM Fadillah | 

Niaga Hadapan Emas Melonjak, Pelabur Tumpu Pilihan Raya Presiden AS

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada hari Rabu selepas para pelabur menumpukan perhatian mereka pada pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) minggu depan, kata seorang penganalisis.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata kenaikan tahap akhir itu telah dijana oleh kegelisahan susulan pilihan raya AS, menyebabkan pelabur mencari jaminan dalam logam berharga menjelang ketidaktentuan yang memuncak di sekitar peralihan dasar AS.

“Saya berpendapat pembeli Asia, khususnya, akan terus menambah momentum menaik emas, mencerminkan turun naik pada hari-hari mendatang.

“Berikutan ancaman perlindungan dasar AS semakin ketara, kami melihat keluk yang jelas daripada mata wang terdedah kepada logam selamat seperti emas dan momentum ini tidak kelihatan seperti ia akan berkurangan dalam masa terdekat,” katanya kepada Bernama.

Bulan semerta Oktober 2024 melonjak kepada US$2,784.0 daripada US$2,758.70 setiap auns troy yang disaksikan semalam, November 2024 mengukuh kepada US$2,798.90 setiap auns troy daripada US$2,775.0 setiap auns troy.

Sementara itu, Disember 2024, Januari 2025 serta Februari 2028, masing-masing berada pada US$2,807.0 setiap auns troy berbanding US$2,783.10 setiap auns troy sebelum ini.

Jumlah dagangan, bagaimanapun, menokok kepada 20 lot daripada tujuh lot semalam, manakala kepentingan terbuka bertambah kepada 27 kontrak daripada 18 kontrak sebelumnya.

Menurut penetapan petang London Bullion Market Association pada 29 Oktober, harga emas fizikal berada pada US$2,769.15 setiap auns troy.

-- BERNAMA