BERITA TERKINI   Mohd Sakeri Abdul Kadir dilantik sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya untuk tempoh dua tahun bermula esok - KSN | U Mobile peroleh kemudahan pembiayaan bersindiket RM4.3 bilion dengan CIMB, Maybank, AmBank dan UOB Malaysia untuk menyokong penggunaan rangkaian 5G generasi seterusnya | ATM bersedia untuk digerakkan di bawah Op Murni bagi menghadapi Monsun Timur Laut - Fahmi | Monsun Timur Laut: Pusat Pemindahan Sementara akan dilengkapi starlink dan wifi bagi bolehkan penduduk nikmati capaian Internet - Fahmi | Menteri KPDN Armizan dilantik mewakili Sabah dalam Jawatankuasa Teknikal MA63, menggantikan Ewon Benedick - Fahmi | 

Axis-REIT Jana RM449.73 Juta Menerusi Penempatan Persendirian Tertinggi

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Axis Real Estate Investment Trust (Axis-REIT) berjaya menjana sebanyak RM449.73 juta menerusi langkah penempatan persendiriannya yang tertinggi setakat ini.

Hasil yang dijana itu akan dimanfaatkan bagi menyokong strategi untuk meneruskan pengambilalihan berkualiti tinggi dan meningkatkan portfolio sedia ada bagi meraih pulangan serta nilai mampan untuk faedah pemegang unit.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif Axis-REIT Managers Bhd Leong Kit May berkata penempatan persendirian yang terbesar setakat ini, juga memaparkan keyakinan pasaran yang kukuh terhadap inisiatif pertumbuhan syarikat. 

"Ini juga sejajar dengan komitmen kami untuk memperkukuh lembaran imbangan dengan mengurangkan nisbah pembiayaan serta mewujudkan lebih banyak ruang bagi pertumbuhan portfolio masa depan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Harga terbitan penempatan persendirian itu ditetapkan pada RM1.71 seunit selepas pelaksanaan proses penetapan harga dan mewakili diskaun 5.1 peratus daripada harga pasaran purata wajaran sebanyak RM1.802 seunit.

Penempatan persendirian itu diuruskan bersama oleh Maybank Investment Bank Bhd dan CIMB Investment Bank Bhd yang berperanan sebagai ejen penempatan untuk Axis-REIT.

Berikutan peningkata modal unit daripada langkah itu, Axis-REIT pada 29 Okt, 2024, telah mengumumkan agihan awal sebanyak 1.10 sen seunit untuk pendapatan diperoleh sehingga 12 Nov, 2024 yang dibayar pada 29 Nov, 2024.

-- BERNAMA