BERITA TERKINI   Lembaga Disiplin JPA akan bermesyuarat berhubung hasil laporan siasatan isu pemilikan saham KP SPRM dalam masa terdekat - KSN | Kenaikan gred pembantu tadbir Gred 1 kepada Gred 5 dilaksana secara berperingkat, ambil kira pelbagai syarat kelayakan - KSN | Harga minyak mentah Brent turun kepada US$94.22 setong hari ini berbanding paras tertinggi semalam pada US$118.60 setong | Konflik Asia Barat: KPDN tingkat pemantauan risiko penyeludupan bahan api di sempadan negara - Armizan | 

MITI Jalankan Empat Siasatan Antilambakan Produk Besi Dan Keluli, Plastik Dari China

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang menjalankan empat siasatan antilambakan yang melibatkan produk-produk besi dan keluli serta plastik yang diimport dari China.

Kementerian menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen memaklumkan antara 2015 hingga 2023, kerajaan telah menguatkuasakan sembilan tindakan antilambakan bagi barangan import dari negara itu.

"Duti antilambakan merupakan salah satu remedi perdagangan yang diguna pakai oleh kerajaan bagi memastikan industri tempatan tidak terjejas akibat amalan perdagangan yang tidak adil oleh barangan import, iaitu pengenaan harga yang lebih rendah di Malaysia berbanding harga yang dijual di pasaran domestik negara pengeksport.

"Tindakan kerajaan ini adalah selaras dengan peraturan antarabangsa di bawah perjanjian-perjanjian Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO)," kata MITI.

Kementerian menjawab soalan yang dikemukakan oleh Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berhubung polisi antilambakan sebagai alat untuk melindungi pasaran domestik hasil lambakan produk terutama dari China.

-- BERNAMA