BERITA TERKINI   Syarikat berpangkalan di Singapura telah melabur lebih S$5.5 bilion ke Johor sejak pemeteraian MoU JS-SEZ -- TPM Singapura Gan | Kerajaan menimbang meningkatkan Dana Pembangunan Perniagaan Malaysia-Singapura bagi membantu lebih banyak PKS mendapat peluang perniagaan rentas sempadan – Tengku Zafrul | Semua projek pembuatan bagi industri tidak sensitif dalam sektor ekonomi yang dikenal pasti di JS-SEZ akan diberikan kelulusan pantas untuk Lesen Pengilangan (ML) dalam tempoh 7 hari bekerja - Tengku Zafrul | Tambahan RM200 juta yang diperuntukkan kepada CoSIF di bawah Belanjawan 2026 membolehkan pelaburan bersama dalam projek berimpak tinggi oleh PKS Malaysia di JS-SEZ - Tengku Zafrul | Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan pastikan kes pelajar perempuan Tingkatan Empat yang maut ditikam disiasat secara telus dan adil - Fadhlina  | 

Cukai Dividen Pada Kadar 2.0 Peratus Ambil Kira Rayuan PMKS - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Cukai dividen yang awalnya ditetapkan pada kadar lima peratus telah diturunkan kepada dua peratus selepas mengambil kira rayuan yang dikemukakan termasuk daripada kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pihak PMKS mengemukakan rayuan supaya dikecualikan daripada cukai dividen itu atas alasan PMKS berbeza dengan syarikat tersenarai.

Beliau berkata dirinya bersikap terbuka untuk menerima cadangan mengenai pelaksanaan cukai dividen itu seperti yang diumumkan menerusi pembentangan Belanjawan 2025, namun bukan cadangan untuk pengecualian.

“Kalau ada cadangan, bagi cadangan lain, tapi jangan cadangan tidak boleh (dikenakan) cukai (terhadap) orang kaya. Saya rasa satu perkara yang sangat aneh dan bertentangan dengan prinsip yang kita nak tegakkan (iaitu) pengagihan kekayaan secara adil,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai mekanisme yang akan digunakan berkaitan pelaksanaan cukai dividen dua peratus ke atas pendapatan dividen melebihi RM100,000 bagi pemegang saham individu.

Mengulas lanjut, Anwar berkata pelaksanaan cukai dividen ke atas pemegang saham individu akan melibatkan saham dalam syarikat tersenarai atau tidak tersenarai, dengan pertimbangan mengenakan bayaran kepada orang yang berkemampuan dan langkah itu tidak membebankan mereka.

Beliau berkata dengan cara sedemikian, negara mempunyai sistem percukaian yang progresif.

“Kalau dia ada RM2 juta (nilai) saham dengan dividen RM100,000, bayarlah, kalau RM100,000 (dividen) sekitar RM700, RM800 sahaja (cukai), takkan tak boleh bayar.

“Itu saham sahaja, mustahil orang itu ada keupayaan hanya beli saham, sebab itu dalam pertimbangan kita dalam menetapkan keputusan ini adalah supaya mengenakan sedikit bayaran kepada orang yang ada keupayaan,” kata beliau.

-- BERNAMA