BERITA TERKINI   KWAP umum pelantikan Datuk Jay Khairil Jeremy Abdullah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif berkuat kuasa 20 Mei 2026 |  Malaysia mahu OEM bekerjasama dengan vendor tempatan untuk meningkatkan seluruh rantaian nilai dan ekosistem melalui dasar EV baharu - Sim Tze Tzin  | 13 Ahli Dewan Negara termasuk enam lantikan baharu angkat sumpah sebagai senator hari ini | Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dan Datuk Norliza Tajudin mengaku tidak bersalah pecah amanah RM10.55 juta | Bekas PM Thailand Thaksin Shinawatra dibebaskan dari penjara secara parol pada pagi Isnin. | 

Kerajaan Negeri Dialu-alukan Bekerjasama Hasilkan Makanan Ternakan - Johari Abdul Ghani

 

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Kementerian Perladangan dan Komoditi mengalu-alukan kerjasama dengan mana-mana kerajaan negeri untuk mengurangkan kebergantungan import bahan makanan ternakan dalam industri yang dihasilkan khususnya daripada sisa-sisa bahan buangan seperti kelapa sawit.

Menterinya Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata bagaimanapun kerajaan negeri perlu mengadakan perbincangan terlebih dahulu khususnya dengan pemain-pemain industri supaya ia dapat dimanfaatkan sebaiknya dengan kos logistik yang munasabah. 

Ini kerana inisiatif menghasilkan makanan ternakan sebelum ini tidak mendapat sambutan daripada pemain industri kerana kilang yang menghasilkan produk tersebut terletak terlalu jauh menjadikan harganya tidak kompetitif jika dibandingkan dengan makanan ternakan biasa. 

"Jadi kilang yang dibangunkan beberapa tahun lepas tersebut ditutup disebabkan lokasinya. Pada masa akan datang, kerajaan negeri yang mahu bekerjasama dengan agensi-agensi di bawah kementerian, saya alu-alukan dan saya secara peribadinya akan terlibat sama, tapi sebelum kita meletakkan sebarang pelaburan, kita mestilah berbincang dengan pemain-pemain industri berkaitan.

"Kalau dia menternak ayam, kita nak tengok berapa banyak ayam daging di kawasan tersebut dan kita nak galakkan dan beri insentif jika mereka gunakan lima atau 10 peratus bahan sisa atau supplement (untuk makanan ternakan)," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau menjawab soalan tambahan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) mengenai usaha kerajaan dalam mengurangkan kebergantungan import bahan makanan ternakan.

Terdahulu, Johari menjelaskan seiring dengan komitmen negara terhadap agenda kemampanan global, penerapan konsep ekonomi kitaran dalam sektor agrikomoditi berpotensi memberi peluang untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG).

Selain itu, ia dapat meningkatkan kecekapan operasi untuk menjana pulangan yang lebih tinggi kepada ekonomi negara seperti yang digariskan dalam Pelan Tindakan Biojisim Negara 2023-2030 (NBAP 2030).

Jelas beliau, menjelang 2030, industri biojisim dijangkakan menjana ekonomi bernilai RM17 bilion dan pelaburan sebanyak RM7 bilion. 

Ini dijangka dapat mewujudkan sebanyak 33,000 peluang pekerjaan baharu dalam sektor biojisim  termasuk industri penghasilan biopelet, industri penjanaan tenaga daripada biojisim, industri pulpa dan kertas, industri karbon terawat dan penghasilan biobaja. 

-- BERNAMA