BERITA TERKINI   Lebih 59,000 bekas pelajar tajaan JPA yang tamat pengajian pada atau sebelum 31 Dis 2024 layak memohon Opsyen PBU Akademik Fasa Kedua - JPA | JPA buka permohonan Opsyen Pinjaman Boleh Ubah Berasaskan Merit Akademik (PBU Akademik) Fasa Kedua mulai 1 Julai | 

Belanjawan 2025: MITI Seru Syarikat Malaysia Teroka Peluang Di Ethiopia

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Syarikat-syarikat Malaysia diseru untuk meneroka peluang perniagaan baharu di Ethiopia, dengan mengambil kesempatan daripada peruntukan RM40 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 baru-baru ini, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata peruntukan itu adalah bagi membantu pengeksport Malaysia mengakses pasaran sedia ada dan pasaran baharu termasuklah di Afrika.

“Perdana Menteri Ethiopia Dr Abiy Ahmed Ali kini di Malaysia untuk lawatan rasmi. 

“Perbincangan delegasi Malaysia bersama beliau meliputi usaha meningkatkan hubungan dan kerjasama dua hala termasuklah dalam pelaburan, industri halal dan komoditi,” katanya menerusi catatan di laman X, hari ini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Okt lepas, kerajaan memperuntukkan RM2.184 bilion secara keseluruhan kepada MITI. 

Dari segi penerokaan pasaran untuk produk dan perkhidmatan Malaysia, geran pembayaran balik RM40 juta akan diperuntukkan kepada MATRADE untuk membantu pengeksport menembusi pasaran baharu dan pelbagai, termasuk Afrika, Amerika Latin dan Asia Barat.

-- BERNAMA