BERITA TERKINI   Polis rampas lebih 400,000 bahan eksploitasi seksual kanak-kanak dalam Ops Cyber Guardian - KPN | Ops Cyber Guardian : 69 individu ditahan kerana terlibat aktiviti pengedaran bahan eksploitasi seksual kanak-kanak - KPN | TH sedia lapan bas ulang-alik 24 jam dari penginapan hotel Abraj Al Tayseer ke Stesen Bas Jarwal berhampiran Masjidil Haram bermula hari ini- Ketua Rombongan Haji | Seniwati Maria Menado,94, meninggal dunia akibat sakit tua pada 12.25 tengah hari ini - Setiausaha Agung Seniman | Bursa Malaysia catat 16 IPO pada suku pertama 2026, dengan jumlah permodalan pasaran meningkat 11.4 peratus tahun ke tahun kepada RM2.1 trilion | 

Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah Susulan Pengambilan Untung

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Jumaat daripada kenaikan dicatatkan beberapa hari sebelum ini, kata seorang peniaga.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata penurunan itu boleh disebabkan aktiviti pengambilan untung dalam kalangan pelabur serta penurunan harga minyak kacang soya yang memberikan tekanan terhadap pasaran.

"Kami melihat paras sokongan pada RM4,500 dan paras rintangan pada RM4,680," katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta November 2024 turun RM56 kepada RM4,632 satu tan, Disember 2024 susut RM52 kepada RM4,584 setan dan Januari 2025 jatuh RM67 kepada RM4,536 satu tan.

Februari 2025 merosot RM71 kepada RM4,481 setan, Mac 2025 menguncup RM71 kepada RM4,423 satu tan dan April 2025 berkurangan RM73 kepada RM4,357 setan.

Jumlah dagangan turun kepada 97,467 lot daripada paras penutup 98,788 lot pada Khamis manakala kepentingan terbuka jatuh kepada 252,223 kontrak daripada 259,382 kontrak sebelumnya. 

Harga MSM fizikal bagi Oktober Selatan meningkat kepada RM4,680 setan.

-- BERNAMA