BERITA TERKINI   Sukan SEA 2025: Atlet lontar peluru wanita negara Nani Sahirah Maryata cipta kejutan rangkul emas, pecah rekod kebangsaan dengan catatan 16.36 meter | Ringgit ditutup dengan terus melonjak, mencecah 4.09 berbanding dolar AS - paras paling kukuh dalam tempoh empat tahun dan tujuh bulan | MCMC peruntuk dana RM310 juta bangunkan infrastruktur kesalinghubungan inisiatif Bandar Pintar Negeri Melaka - Fahmi  | Belanjawan Sabah 2026: Penjawat awam negeri terima Bantuan Khas Kewangan sebulan gaji atau minimum RM2,000 - Masidi | Belanjawan Sabah 2026 catat belanjawan lebihan RM28 juta – Masidi Manjun | 

JBIC Beri Komitmen Pertingkat Pelaburan Syarikat Jepun Di Malaysia - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata Japan Bank for International Cooperation (JBIC) menyatakan komitmennya terhadap usaha meningkatkan pelaburan sedia ada dengan menarik lebih ramai pelabur dari Jepun ke Malaysia.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata JBIC juga sedang giat mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat tempatan daripada pelbagai industri.

"Saya tekankan kepentingan memperkukuh persahabatan dan kerjasama erat antara Malaysia dan Jepun untuk terus meneroka lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi.

"Ini bagi memastikan kerjasama pelaburan, khususnya dalam sektor tenaga ini direalisasikan demi kepentingan rakyat," kata Anwar menerusi catatan dalam Facebook rasmi beliau.

Awal hari ini, beliau telah menerima kunjungan hormat delegasi JBIC yang diketuai pengerusi merangkap penasihat khas kepada Kerajaan Jepun, Tadashi Maeda.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Dasar, Tan Sri Mohd Hassan Marican.

Perdana Menteri mendedahkan menerusi pertemuan itu, mereka turut bertukar pandangan berhubung pembangunan tenaga hijau, tenaga boleh baharu dan pasaran tenaga.

Turut dibincangkan ialah pembinaan pusat-pusat data serta pelaburan dalam industri pendigitalan, kata Anwar.

-- BERNAMA