BERITA TERKINI   Pendidikan percuma PTPTN ditingkatkan kepada 10,000 pelajar miskin, berbanding 5,800 di bawah Belanjawan 2026 - PM Anwar | Kira-kira 3,000 pelajar OKU di IPTA, politeknik dan kolej komuniti akan diberi pendidikan percuma - PM Anwar | Mulai 2026, KPT akan ambil alih seluruh sistem pendidikan prauniversiti, Tingkatan Enam dan matrikulasi - PM Anwar | PM Anwar umum peruntukan RM100 juta perbaiki kemudahan untuk guru di sekolah | PM Anwar umum peruntukan RM100 juta perbaiki kemudahan untuk guru di sekolah | 

Tengku Zafrul Komited Tingkatkan Produktiviti MITI Dan Agensi

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz kekal komited untuk meningkatkan produktiviti kementerian bagi memastikan Malaysia kekal sebagai negara mesra pelabur dan perdagangan.

Beliau berkata hasil usaha warganya, kementerian telah menerima dua sijil penghargaan daripada Ketua Setiausaha Negara atas kejayaan menyiapkan Garis Panduan bagi Pengawalselian Sendiri Industri Pengurusan Bateri Kenderaan Elektrik dan mengurangkan tempoh kelulusan untuk Proses Penyata Kesan Peraturan (RIS).

Tempoh kelulusan untuk RIS dikurangkan daripada dua bulan kepada 10 hari, katanya semasa membentangkan Kad Laporan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi suku ketiga 2024 di sini hari ini.

Katanya penambahbaikan peraturan dan proses itu turut menyaksikan 166 projek didaftafkan di bawah usaha Reformasi Karenah Birokrasi (RKB), dengan anggaran penjimatan kos ke atas pematuhan kawal selia untuk rakyat dan perniagaan berjumlah RM561.5 juta.

“Dari segi penambahbaikan peraturan perniagaan, setakat September 2024, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) telah meraih penjimatan sebanyak RM922 juta di bawah Amalan Kawal Selia Yang Baik (GRP).

“Usaha ini akan diteruskan untuk meningkatkan produktiviti agensi-agensi di bawah seliaan MITI,” katanya.

Antara petunjuk prestasi utama (KPI) di bawah GRP termasuklah potensi penjimatan kos untuk projek berdaftar, bilangan projek pembaharuan kawal selia yang berdaftar, bilangan projek pembaharuan kawal selia yang selesai dan penjimatan kos bagi projek yang selesai.

-- BERNAMA