BERITA TERKINI   Sukan Para ASEAN Malaysia akan berlangsung pada 17 hingga 23 Okt 2027 - Hannah Yeoh | Sukan SEA Malaysia 2027 akan berlangsung pada 18 hingga 29 Sept 2027 - Hannah Yeoh | N. Sembilan beri bantuan khas kewangan maksimum tiga bulan gaji dan minimum dua bulan gaji kepada penjawat awam negeri tahun depan - MB | Orang ramai diingatkan buat perancangan bersesuaian hadapi MTL yang dijangka berlaku di beberapa negeri - Fahmi | 

Belanjawan 2025 Menunjukkan Kerajaan Serius Dalam Bidang R&D, Sains

GEORGE TOWN, 21 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 menunjukkan Kerajaan Persekutuan serius meningkatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta perkembangan bidang sains dan teknologi di negara ini. 

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata dana R&D ditingkatkan kepada RM600 juta berbanding RM510 juta sebelum ini di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

"Keseluruhannya MOSTI menerima peruntukan RM1.2 bilion. Jadi saya rasa ini adalah suatu perkembangan yang positif," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Antarabangsa Mengenai Biopolimer (ISBP) 2024 anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.

Mengulas simposium berkenaan yang berlangsung selama empat hari bermula semalam, Chang berkata Malaysia mempunyai kekangan dalam mengkomersialkan projek R&D disebabkan pemain industri dan sektor kerajaan sukar menjalinkan kerjasama.

"Kami sedang berusaha memperbaikinya dan simposium ini akan merapatkan jurang berkenaan dengan ahli akademik seperti dari USM bekerjasama dengan pemain industri serta agensi kerajaan untuk menghubungkan titik-titik tersebut," katanya.

-- BERNAMA