BERITA TERKINI   Pelaksanaan sistem audit dengan baik dapat mengelak ketirisan, kecelaruan dan penyalahgunaan kuasa - PM Anwar | Pelaksanaan had umur minimum 16 tahun untuk penggunaan media sosial dijangka dikuat kuasa seawal Julai - Teo | JAN harus berani ambil langkah baharu dalam pelaksanaan audit agar hasil lebih cepat, tepat dan berimpak - PM Anwar | Jabatan Audit Negara (JAN) perlu cari kaedah dekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat, tidak membebankan - PM Anwar | Isteri bekas PTD Hafizuddeain, Salwani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas tuduhan terima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5,000 | 

Belanjawan 2025 Sejajar Dengan Trend Hartanah Global- Knight Frank

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 yang menekankan infrastruktur berpaksikan rakyat dan kemampanan adalah sejajar dengan trend hartanah global seperti amalan bangunan hijau dan pembangunan berorientasikan transit, kata Knight Frank Malaysia.

Dalam satu kenyataan, ia berkata pengukuhan ringgit akan meningkatkan lagi keyakinan dalam kalangan pelabur asing untuk melabur di pasaran hartanah Malaysia, menjadikannya destinasi yang lebih menarik.

"Pelaburan ini akan bertindak sebagai pemangkin pertumbuhan pasaran hartanah, meningkatkan permintaan kediaman dan komersial serta meninggikan nilai hartanah bagi jangka panjang," katanya.

Menurut Knight Frank, projek-projek utama seperti pembesaran Lebuhraya Utara-Selatan, Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura (RTS), Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Pelabuhan Klang dijangka meningkatkan kesalinghubungan sambil melebarkan jalan di Lingkaran Pulau Indah dan Pelabuhan Utara Klang yang memacu pertumbuhan hartanah.

Ia berkata ini akan merangsang permintaan untuk kedua-dua pembangunan kediaman dan komersial serta meningkatkan nilai hartanah jangka panjang.

Selain itu, firma berkenaan berkata memperkenalkan insentif cukai untuk pengaturan kerja yang fleksibel dijangka membentuk semula permintaan dalam sektor hartanah komersial.

“Tumpuan kerajaan terhadap sektor-sektor bernilai tinggi seperti elektrik dan elektronik (E&E) dan kecerdasan buatan (AI) yang disokong oleh insentif cukai pelaburan, berkemungkinan mewujudkan peluang untuk sektor hartanah perindustrian terutamanya dalam membangunkan logistik pintar dan taman perindustrian yang dipacu teknologi.

"Kami menjangkakan peningkatan minat dalam hab logistik dan kemudahan pembuatan kerana Malaysia terus mengembangkan sektor digital dan teknologi tingginya," katanya.

Sementara itu, Knight Frank berkata peruntukan belanjawan yang besar untuk Sabah dan Sarawak bertujuan mengurangkan jurang pembangunan dengan pembesaran lapangan terbang di Tawau dan Miri yang berupaya meningkatkan aktiviti pelancongan dan komersial di samping membentuk permintaan untuk hartanah perhotelan dan runcit.

Pembinaan Pusat Kanser Sarawak mengetengahkan pelaburan dalam infrastruktur penjagaan kesihatan, membuka peluang dalam hartanah yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan,” tambahnya.

-- BERNAMA