BERITA TERKINI   PM Anwar umum Pakej Daya Tahan Ekonomi Progressive Acceleration for Capability and Employment bernilai lebih RM710 juta bagi perkukuh kestabilan pasaran buruh negara | Malaysia masih kekalkan harga BUDI95 pada RM1.99 seliter meskipun kebanyakan negara pengeluar minyak naikkan harga - PM Anwar | Kerajaan akan terus ambil langkah-langkah perlu dalam berdepan ketidaktentuan ekonomi global - PM Anwar | Kerajaan cadang perluas perlindungan PERKESO kepada warganegara Malaysia di luar negara - PM Anwar | Kerajaan komited perkasakan wanita sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan sosial negara - PM Anwar | 

Malaysia Giat Raih Sokongan Kalangan Negara Anggota BRICS

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Malaysia sedang giat meraih sokong daripada kalangan negara anggota BRICS berhubung hasrat negara menyertai blok ekonomi itu, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.

Beliau berkata Menteri Luar (Datuk Seri Mohamad Hasan) telah mengutuskan surat rasmi kepada sembilan menteri luar di negara anggota BRICS untuk mengesahkan hasrat Malaysia itu.

“Kehadiran seorang menteri kanan Malaysia di Sidang Kemuncak Ketua Negara dan Kerajaan dalam BRICS Outreach/BRICS Plus penghujung Oktober ini dilihat sebagai peluang untuk meraih sokongan daripada pemimpin negara anggota BRICS,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) mengenai perkembangan terkini berkenaan cadangan Malaysia menyertai BRICS dan impak yang besar kepada ekonomi negara.

Liew berkata hasrat untuk menyertai BRICS adalah selaras dengan pendirian Malaysia sebagai sebuah negara bebas dan mengambil sikap terbuka dalam kerjasama antarabangsa, seterusnya membantu mengukuhkan dasar berkecuali dan sistem multilateral BRICS.

Negara anggota BRICS seperti Brazil, Mesir dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut mengamalkan dasar luar berkecuali, katanya.

Beliau sama sekali menolak dakwaan bahawa permohonan keanggotaan Malaysia dalam BRICS akan menjejaskan hubungan ekonomi dengan blok barat. 

“Tahun ini kita menyambut pelaburan dari Google, Oracle dan Amazon, dan semua ini ialah syarikat gergasi barat, syarikat gergasi Amerika Syarikat.

“Ini menunjukkan dasar berkecuali kita, dasar tidak memihak kita diterima oleh syarikat-syarikat negara barat dan juga diterima oleh semua pihak,” katanya.

Beliau berkata penyertaan Malaysia dalam BRICS juga dlihat akan melengkapkan peranannya dalam rangkaian kerjasama ekonomi serantau dan antarabangsa antaranya ASEAN, Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia juga sedang mempertimbangkan untuk menyertai Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) sejajar usaha memelihara hubungan baik dengan semua rakan dagang, katanya.

“Di samping itu, selaras dengan komitmen Malaysia untuk memajukan dan memperluas agenda Global South, penyertaan Malaysia dalam BRICS dilihat boleh dijadikan landasan untuk mengetengahkan isu dan cabaran khusus yang dihadapi negara Selatan-Selatan,” katanya.

-- BERNAMA