BERITA TERKINI   Perkhidmatan tren LRT antara Stesen Universiti dan Abdullah Hukum alami gangguan bekalan kuasa, kerja baik pulih sedang dijalankan - RapidKL | PKS perlu terima pakai teknologi baru muncul seperti AI, robotik dan automasi, pengkomputeran kuantum, IoT dan Gen-AI untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam rantaian bekalan global - Tengku Zafrul | Dewan Rakyat lulus RUU Agensi Persendirian (Pindaan) 2025, tambah baik proses pengeluaran, pembaharuan lesen perniagaan agensi persendirian | Polis jangka sebanyak 2.1 juta kenderaan akan berada di atas jalan raya sempena cuti Deepavali bermula 18 Okt ini - Pengarah JSPT Bukit Aman | Ops Lancar sempena sambutan Deepavali akan dilaksanakan bermula 17 hingga 21 Okt - Pengarah JSPT Bukit Aman | 

Leader Energy Peroleh Pelaburan Lebih US$100 Juta Daripada CAF II

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Leader Energy Group Bhd, syarikat pengeluar telekomunikasi dan kuasa berjaya memperoleh pelaburan lebih US$100 juta (US$1=RM4.28) daripada Dana Kerjasama Pelaburan China-ASEAN II (CAF II).

Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata pelaburan berkenaan bertujuan untuk menyokong pengembangan portfolio penjanaan tenaga boleh baharu dan penghantaran tenaga oleh Leader Energy di Asia Tenggara.

“Kami bersyukur atas sokongan dan keyakinan yang diberikan oleh CAF II ketika kami berusaha untuk mempercepatkan pertumbuhan portfolio tenaga boleh baharu dan menyumbang kepada peralihan tenaga di rantau ini ke arah sifar bersih.

“Prinsip pelaburan mereka sejajar dengan komitmen kami terhadap masa depan yang mampan, mempercepatkan usaha kami untuk menyumbang dan mempromosikan tenaga bersih,” kata Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bersama Datuk Sean H’ng.

Leader Energy kini mengendalikan aset dengan gabungan kapasiti terpasang tenaga hidro dan solar melebihi 550 megawatt bersama-sama dengan talian penghantaran sepanjang 235 kilometer di seluruh Asia Tenggara.

Syarikat itu juga memiliki senarai projek yang mantap dan menyasarkan untuk menggandakan kapasiti terpasangnya dalam tempoh lima tahun akan datang.

Melalui perkongsian dengan CAF II, Leader Energy berhasrat untuk mempercepatkan rangkaian projeknya yang kukuh di seluruh rantau ini dan mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu syarikat tenaga boleh baharu yang terbesar di Malaysia.

CAF II, dengan komitmen modal awal sebanyak US$1 bilion merupakan dana ekuiti persendirian infrastruktur yang menumpukan kepada pasaran Asia Tenggara.

Ini adalah projek pelaburan kedua CAF II, selepas pelaburan pertamanya dalam aset tenaga geotermal Pertamina di Indonesia.

-- BERNAMA