BERITA TERKINI   Dua maut, empat cedera dalam kemalangan babit dua kenderaan di simpang Felda Sungai Ara dekat Kota Tinggi - bomba | Inflasi Malaysia berada pada 1.4 peratus pada Februari 2026, mata indeks naik kepada 136.0 daripada 134.1 pada bulan sama tahun sebelumnya - Jabatan Perangkaan | Perdagangan Malaysia meningkat 9.5 peratus kepada RM245.2 bilion pada Februari 2026, disokong oleh pengembangan berterusan dalam eksport dan import - Jabatan Perangkaan | Sabotaj Negara: PDRM akan rakam keterangan 14 lagi individu bagi lengkapkan kertas siasatan - KPN | 

Belanjawan 2025 Fokus Sektor Ekonomi, Teruskan Agenda Reformasi Struktur Negara

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 akan memberi keutamaan kepada sektor ekonomi dengan meneruskan agenda reformasi struktur dalam negara, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata pengukuhan struktur yang dilaksanakan akan dapat membina asas yang lebih kukuh untuk ekonomi negara.

“Pendekatan kerajaan adalah untuk memberi balik kepada rakyat, kita boleh melindungi rakyat…mungkin dengan meningkatkan pelaburan dalam sektor-sektor yang penting untuk rakyat seperti kesihatan dan pendidikan.

“Yang penting adalah melonjakkan ekonomi negara kepada struktur yang baharu,” katanya menerusi program Niaga Awani bertajuk "Strategi Fiskal dan Monetari: Kunci Pengukuhan Ekonomi Malaysia" yang disiarkan di saluran Astro Awani, hari ini.

Amir Hamzah berkata kerajaan juga akan memastikan lonjakan ekonomi yang dilaksanakan dapat menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi masuk ke dalam negara sekali gus menjana peluang pekerjaan kepada rakyat.

Menurutnya, kestabilan politik negara merupakan antara faktor utama yang memberi keyakinan kepada pelabur asing untuk terus melabur di Malaysia.

“Kalau kita tengok daripada kestabilan politik negara, ini telah mendorong pelabur asing untuk percaya apabila (mereka) letak pelaburan di Malaysia, kemungkinan untuk pelaburan itu berjaya adalah lebih tinggi,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, usaha syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) membawa pelaburan langsung domestik (DDI) dapat membina ekosistem yang baik bagi menyokong syarikat luar yang beroperasi di Malaysia terutamanya dalam sektor semikonduktor.

“Usaha ini penting bagi memastikan para pelabur akan terus kekal beroperasi di Malaysia sekali gus membuka ruang bagi pemain industri tempatan untuk bersaing dan menembusi pasaran luar,” katanya.

-- BERNAMA