BERITA TERKINI   Bernama dipilih semula sebagai Ahli Lembaga Eksekutif OANA pada Perhimpunan Agung Ke-19nya di St. Petersburg | MPI: Bernama menang Perak dan Gangsa bagi Kategori Lintas Langsung Berita Radio Terbaik | MPI: Bernama Radio menang emas, perak dan gangsa bagi kategori Bicarawara Radio Terbaik. | MPI: Wartawan Penyiaran Radio Bernama Ahmad Irfan Che Mohd Ruzaidi menang gangsa bagi Kategori Dokumenteri Radio Terbaik | MPI: Wartawan Penyiaran Radio Bernama Nurliayana Farhah rangkul emas kategori Laporan Radio Terbaik | 

Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi Susulan Peningkatan Ketegangan Di Timur Tengah

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi pada Rabu susulan peningkatan ketegangan di Timur Tengah, kata seorang peniaga.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata keadaan itu menyebabkan harga minyak meningkat yang turut memberi kesan kepada pasaran minyak sawit.

“Kami melihat paras sokongan pada RM4,100 satu tan dan paras rintangan pada RM4,280 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Oktober 2024 menokok RM139 kepada RM4,305 setiap tan, November 2024 melonjak RM191 kepada RM4,246 setiap tan manakala kontrak penanda aras Disember 2024 naik RM190 kepada RM4,196 setiap tan.

Kontrak Januari 2025 bertambah RM177 kepada RM4,140 setiap tan, Februari 2025 berkembang RM155 kepada RM4,083 setiap tan manakala Mac 2025 meningkat RM134 kepada RM4,028 setiap tan.

Jumlah dagangan melonjak kepada 119,000 lot daripada 63,557 lot pada Selasa manakala kepentingan terbuka bertambah kepada 262,414 kontrak daripada 257,623 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Oktober Selatan meningkat RM120 kepada RM4,320 setiap tan.

-- BERNAMA