BERITA TERKINI   Kebajikan atlet terjaga sumbang kejayaan kepada bidang sukan negara - PM Anwar | Kerangka perkongsian awam-swasta di bawah RMK-13 akan diperkukuh antaranya sedia perumahan mampu milik, pembangunan semula bandar - Mohd Shahar | Sukan dan olahraga strategi penting angkat martabat rakyat dan negara - PM Anwar | Kerajaan bercadang menstruktur semula sektor pembinaan melalui kajian pembaharuan merangkumi seluruh kitaran hayat projek - Mohd Shahar | Projek selari dengan keutamaan serantau dan menunjukkan pulangan sosial dan alam sekitar yang jelas akan terima sokongan kukuh kerajaan - Mohd Shahar | 

Ringgit Ditutup Rendah Berikutan Pengambilan Untung

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa berikutan pengambilan untung selepas kenaikan ketara baru-baru ini, sejajar dengan mata wang serantau lain, apabila AS memberi isyarat pengurangan kadar faedah yang lebih rendah pada masa depan.

Pada pukul 6 petang, ringgit diniagakan pada 4.1530/1610 berbanding dolar AS, turun daripada 4.1210/1280 ketika ditutup pada Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata prestasi rendah itu susulan kenyataan terbaru oleh Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) AS Jerome Powell.

Powell menyakinkan pasaran bahawa pelonggaran monetari akan berterusan namun, Fed tidak tergesa-gesa untuk mengurangkan kadar itu secepatnya, katanya.

Mohd Afzanizam menjangkakan Fed mengekalkan kadar pengurangan lazim sebanyak sukuan mata semasa mesyuaratnya bulan depan berbanding jangkaan pengurangan sebelum ini sebanyak 50 mata asas lagi.

“Memandangkan ringgit meningkat ketara dalam beberapa hari kebelakangan ini, peniaga mengambil peluang untuk mendapatkan sedikit keuntungan. Selain itu, peningkatan risiko geopolitik di Timur Tengah boleh meningkatkan permintaan terhadap mata wang selamat seperti dolar AS,” katanya kepada Bernama.

Ringgit didagangkan tinggi kebanyakannya berbanding sekumpulan mata wang utama, kecuali berbanding pound sterling, apabila turun kepada 5.5335/5441 daripada 5.5193/5260.

Unit tempatan naik berbanding yen Jepun, ditutup pada 2.8892/8950 daripada 2.8899/8936 pada Isnin, dan meningkat berbanding euro kepada 4.6078/6166 daripada 4.6106/6162.

Ringgit diniagakan rendah kebanyakannya berbanding mata wang negara ASEAN.

Mata wang domestik meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.7412/7716 daripada 12.8037/8248 semalam, dan rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 273.1/273.7 daripada 272.1/272.6.

Ringgit lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.2269/2334 daripada 3.2175/2217 dan susut berbanding peso Filipina kepada 7.39/7.41 daripada 7.35/7.37.

-- BERNAMA