BERITA TERKINI   PRN Sabah : Tiada pencalonan ditolak - SPR | PRN Sabah : Calon tertua berumur 86 tahun dari Parti Kebangsaan Sabah, tanding di DUN Bingkor - SPR | PRN Sabah : 525 calon bertanding adalah lelaki, 71 lagi wanita - SPR | PRN Sabah : Seramai 596 calon bertanding di 73 kerusi DUN - SPR | 74 calon bebas daripada keseluruhan 596 calon dijangka bertanding PRN Sabah | 

Pelabur Asing Jadi Penjual Bersih Catat RM527 Juta Minggu Lepas

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Pelabur asing menjadi penjual bersih ekuiti di Bursa Malaysia minggu lepas berikutan mereka mengambil keuntungan selepas membeli bersih selama enam minggu berturut-turut, menurut MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF).

Dalam laporan aliran dana pada minggu berakhir 27 Sept 2024, MIDF berkata pelabur asing menjual bersih setiap hari minggu lepas, menyebabkan aliran keluar bersih sebanyak RM527 juta.

Katanya jualan bersih tertinggi dicatatkan pada Rabu sebanyak RM165.5 juta.

“Sektor yang mencatatkan aliran masuk asing bersih tertinggi ialah utiliti (RM40.9 juta), produk perindustrian dan perkhidmatan (RM24.8 juta) dan penjagaan kesihatan (RM8.2 juta).

“Sektor yang mencatatkan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (-RM193.7 juta), teknologi (-RM137.3 juta) serta produk dan perkhidmatan pengguna (-RM50.7 juta),” katanya. 

Menurut firma penyelidikan itu, institusi tempatan terus menyokong bursa tempatan, dengan belian bersih sebanyak RM240.3 juta minggu lepas, menjadikan belian bersih minggu ketiga berturut-turut.

“Mereka membeli bersih setiap hari minggu lepas.  

“Sementara itu, peruncit tempatan membeli bersih RM286.7 juta minggu lepas, selepas jualan bersih selama dua minggu berturut-turut. Mereka juga, membeli bersih setiap hari minggu lepas,” katanya.

Purata jumlah dagangan harian (ADTV) merosot dalam semua kelas pelabur minggu lepas.

Pelabur asing mencatatkan penurunan sebanyak 34.0 peratus manakala pelabur institusi tempatan dan pelabur runcit tempatan, masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak 21.2 peratus dan 7.6 peratus. 

-- BERNAMA