BERITA TERKINI   AirBorneo rancang lancarkan penerbangan permulaan dari Kuching ke Singapura, Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu pada Julai - CEO Megat Ardian | Tambang penerbangan AirBorneo buat masa ini tidak berubah walaupun harga bahan api global meningkat - CEO Megat Ardian | AirBorneo rancang lancar operasi jet serantau dari Kuching menggunakan tiga pesawat Boeing 737-800 pada Julai - CEO Megat Ardian | Anak syarikat Aneka Jaringan peroleh kontrak Projek Sambungan Lebuhraya Pantai Baharu daripada IJM Construction bernilai RM82.8 juta | Pharmaniaga akan keluar daripada status PN17 bermula 9 pagi, 17 Mac 2026 - Bursa Malaysia | 

Ekonomi Negara Berkembang Baik Disokong Pengukuhan Ringgit - Amir Hamzah

LANGKAWI, 28 Sept (Bernama) -- Ekonomi negara terus berkembang dengan baik disokong oleh kedudukan ringgit yang kini semakin mengukuh dalam pasaran tukaran mata wang asing, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata banyak inisiatif yang telah dilaksanakan menerusi rangka kerja Ekonomi MADANI menunjukkan perkembangan yang baik, sekali gus menambah keyakinan pelabur.

"Kita melihat lonjakan dalam pelaburan, ekonomi semakin berkembang, banyak pelabur positif kepada Malaysia, (dan ini memberi) perkembangan baik kepada ringgit.

"Keluaran Dalam Negara Kasar pula tumbuh 4.2 peratus pada suku pertama tahun ini, dan 5.9 peratus pada suku kedua,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pulau Tuba yang merupakan Kampung Angkat MADANI dekat sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kadar inflasi yang semakin mereda dan kadar pengangguran berada pada 3.3 peratus pada masa kini, turut mencerminkan perkembangan yang positif.

Sementara itu, mengenai Belanjawan 2025, Amir Hamzah berkata kerajaan akan terus memfokuskan kepada usaha meningkatkan taraf hidup rakyat dan memajukan pembangunan negara menerusi pelbagai program Ekonomi MADANI.

"Kerajaan mahu kurangkan jurang sosial dan memberi lebih banyak pulangan (manfaat) kepada rakyat," katanya.

Pulau Tuba adalah satu daripada tiga Kampung Angkat MADANI Kementerian Kewangan selain Kampung Batu 13 di Terengganu dan Rumah Panjang - Rumah Entebang Anak Melayang Nanga Belaie, Skrang di Sarawak.

Kampung Angkat MADANI merupakan inisiatif kerajaan yang diperkenalkan di bawah Belanjawan 2024 bertujuan antaranya untuk mencari kaedah terbaik dalam memudah cara dan mempercepat pelaksanaan projek kecil di kampung, di samping merapatkan jurang kemudahan asas dan bandar.

-- BERNAMA