BERITA TERKINI   Kerajaan setuju bayar RM200 sehektar sebagai pendahuluan Bantuan Khas Insentif Pembajakan, manfaatkan hampir 240,000 pesawah - PM Anwar | MARA Corp sasar kurangkan kerugian terkumpul kepada RM49.7 juta menjelang akhir 2026, capai prestasi keuntungan terkumpul menjelang akhir 2027 - Ketua Pengarah | MARA sasar jana nilai melalui pelaburan bersasar, berimpak tinggi berjumlah RM2.2 bilion menjelang 2030, meliputi inisiatif kredit karbon dan pembangunan hartanah bernilai tinggi - Ketua Pengarah | Kadar sewa premis semua agensi kerajaan Persekutuan seperti MARA dan UDA dikurangkan, bantu peniaga kecil - PM Anwar | Cuaca panas: TUDM, Bomba diarah tingkat aktiviti pembenihan awan di utara Semenanjung bagi atasi kesukaran dihadapi petani - PM Anwar | 

Unit ITMAX System Raih Kontrak Parkir Pintar Di Johor

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Anak syarikat milik 65 peratus ITMAX System Bhd (ITMAX System), Southmax Sdn Bhd (SSB) dilantik oleh Majlis Perbandaran Segamat (MPS) untuk mengendalikan 7,637 petak parkir pintar di sekitar daerah berkenaan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, ITMAX System berkata kontrak selama 15 tahun itu bermula dari 1 Sept, 2024 hingga 31 Ogos, 2039 termasuk tempoh simulasi dari 1 Okt, 2024 hingga 31 Dis, 2024.

“Kontrak ini akan dilaksanakan dengan model perkongsian hasil. SSB akan menerima 70 peratus dan MPS akan menerima 30 peratus daripada semua kutipan parkir termasuk parkir mengikut jam, parkir harian, parkir bulanan, pas musim, sewa parkir sementara dan denda parkir.

“SSB perlu menyediakan deposit jaminan bagi emolumen kakitangan dan anggaran pendapatan parkir di MPS selama enam bulan,” katanya.

Menurut ITMAX System, SSB bertanggungjawab ke atas kos pembangunan, pengurusan dan penyelenggaraan sistem parkir pintar serta peralatan dan papan tanda parkir.

-- BERNAMA