BERITA TERKINI   149 projek diluluskan di bawah FIMI, merangkumi 56 produksi antarabangsa dan 93 tempatan dari 2021 hingga September 2025 - Teo | Industri perfileman Malaysia hasil 59 filem dengan 13 "box office" berjumlah RM164.02 juta setakat 26 Okt - Teo | Sebanyak 80 dokumen hasil (outcome document) telah diterima dan diluluskan sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 - PMO | Kejayaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 adalah hasil kerja keras seluruh petugas, agensi-agensi kerajaan dan sokongan padu seluruh rakyat Malaysia - PMO | Kejayaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hasil usaha keras petugas, agensi kerajaan dan sokongan padu rakyat - PMO | 

Ringgit Susut Berbanding Dolar AS Pada Sesi Awal

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Ringgit diniagakan rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi awal urus niaga Jumaat apabila penyusutan harga minyak menjejaskan sentimen, kata penganalisis.

Pada 8.11 pagi, mata wang tempatan itu susut nilai kepada 4.2100/2300 berbanding dolar AS daripada paras 4.2025/2105 pada akhir urus niaga semalam yang mencecah paras tertinggi dalam tempoh 28 bulan.

Setakat pagi ini, harga minyak mentah Brent yang juga penanda aras global, susut 12 peratus kepada US$74.79 setong.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata paras sokongan segera bagi ringgit pada masa ini adalah pada RM4.0728.

Beliau berkata ringgit mempamerkan prestasi menggalakkan selepas pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) mengumumkan pengurangan 50 mata asas bagi kadar faedah negara itu pada 18 September lepas.

Ringgit menembusi paras sokongan sebelumnya pada RM4.2128 berbanding dolar AS dan ditutup pada RM4.2065 semalam.

“Kenaikan ketara itu mencerminkan tahap ringgit yang dinilai rendah dan prospek Kadar Dana Fed (FFR) yang lebih rendah menunjukkan masih banyak lagi ruang bagi momentum kenaikan ringgit.

"Ini dilihat benar terutama selepas Rizab Persekutuan dilihat jelas dalam pendirian bahawa mereka dalam keadaan menyokong dasar lebih longgar,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata berdasarkan unjuran terbaharu, FFR akan mengakhiri tahun ini pada paras 4.4 peratus. 

“Bagaimanapun, mungkin wujud keinginan dalam kalangan peniaga untuk mendapatkan keuntungan dan atas alasan ini, indeks dolar AS-RM mungkin lebih ketara dalam paras semasa," katanya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya susut berbanding mata wang utama, kecuali euro yang menyaksikannya meningkat sedikit kepada 4.6975/7198 daripada 4.6976/7065, semalam.

Nilai ringgit juga rendah berbanding pound Britain kepada 5.5879/6145 daripada 5.5822/5928 dan susut berbanding yen Jepun kepada 2.9465/9609 daripada 2.9442/95008.

Dalam pada itu, ringgit menyaksikan urus niaga bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2565/3725 daripada 3.2567/2632 dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.6960/7633 daripada 12.6983/7294 semalam.

Berbanding peso Filipina, ringgit susut kepada 7.57/7.61 daripada 7.55/7.58 dan rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 276.2/277.7 daripada 275.7/276.4 sebelum ini.

-- BERNAMA