BERITA TERKINI   Anak syarikat Pansar Bhd, Perbena Emas Sdn Bhd memperoleh kontrak RM234.88 juta daripada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak untuk naik taraf Loji Rawatan Air Kaki Wong di Saratok | Semua pengimportan kenderaan elektrik CBU yang dipasang siap di luar negara adalah tertakluk kepada dua syarat utama bermula 1 Julai 2026 - MITI | MITI benarkan baki stok sedia ada dijual mengikut ketetapan dalam tempoh pengecualian khas sehingga habis | Dasar berkaitan kenderaan elektrik CBU dikembalikan kepada ketetapan sedia ada susulan penamatan tempoh pengecualian khas pada 31 Dis 2025 - MITI | Seorang lelaki berusia 70 tahun menjadi jemaah kedua meninggal dunia di Makkah akibat serangan jantung- Tabung Haji | 

AirAsia Rancang Perluasan Operasi Di Indonesia Timur Menerusi Laluan Baharu

Daripada Soraya Jamal

BALI, 19 Sept (Bernama) -- AirAsia merancang untuk mengembangkan rangkaiannya di Indonesia, terutamanya di Nusa Tenggara Timur, wilayah paling selatan negara tersebut, kata Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd, Tan Sri Tony Fernandes.

“Kami baru-baru ini melancarkan penerbangan ke Labuan Bajo, yang sangat berjaya. Sekarang, kami ingin melakukan lebih banyak lagi di Nusa Tenggara Timur dan menawarkan penerbangan terus ke Indonesia timur dari ASEAN, serta beberapa laluan domestik.

“Kami akan mengumumkan butiran lebih terperinci pada bulan depan,” kata Fernandes pada Bali International Airshow 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata AirAsia juga sedang menimbang laluan berpotensi ke Papua dan Dili (Timor Leste).

“Saya telah memaklumkan kepada Pak Luhut (Menteri Koordinator Urusan Maritim dan Pelaburan Luhut Binsar Pandjaitan) mengenai pembukaan semula Belitung. Kami juga sedang mempertimbangkan Semarang, Pontianak dan Palembang.

"Sebaik sahaja mendapat kelulusan yang diperlukan, kami akan melaksanakannya," kata Fernandes.

Sehingga Jun 2024, Indonesia Air Asia mengendalikan 33 laluan, termasuk lapan laluan domestik dan 25 laluan antarabangsa serta membawa seramai 1.7 juta penumpang.

-- BERNAMA