BERITA TERKINI   Sultan Selangor titah rakyat bersabar tunggu pengumuman tarikh Aidilfitri, jangan percaya spekulasi - Istana Alam Shah | Konflik Asia Barat: PM Anwar minta KSN dan KPPA teliti cadangan penjawat awam bekerja daripada rumah - Fahmi  | Subsidi kerajaan naik kepada RM3.2 bilion daripada RM700 juta sebulan untuk petrol dan diesel - Amir Hamzah | Kerajaan berusaha memastikan bekalan bahan api berterusan selepas Mei - Amir Hamzah | Kabinet setuju stok beras negara ditambah sehingga tempoh sembilan bulan akan datang, pastikan bekalan mencukupi - Mohamad Sabu | 

Projek Bakul Makanan Di Betong Dijangka Selesai Awal Tahun Depan - RECODA

KUCHING, 16 Sept (Bernama) -- Projek Pembangunan Bakul Makanan di Spaoh, Betong, yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Bakul Makanan Kerajaan Persekutuan dijangka selesai awal tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) Datuk Ismawi Ismuni berkata projek itu yang ketika ini telah 70 peratus siap akan menjadi pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan (CPPC) bagi produk pertanian penduduk setempat. 

“Inisiatif ini memperlihatkan komitmen RECODA untuk mengubah kawasan luar bandar Sarawak menjadi kuasa ekonomi melalui projek pembangunan sosio-ekonomi bersasar.

“Selain itu, kami juga merancang untuk menubuhkan satu lagi CPPC di Sungai Baji, Sarikei,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ismawi berkata RECODA menyasar untuk membawa impak positif ke kawasan luar bandar dengan menambah baik infrastruktur pertanian, justeru, CPPC akan memainkan peranan penting dalam meningkatkan ekonomi tempatan dan keterjaminan makanan.

RECODA baru-baru ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kumpulan Carus, Nex Ecoventure dan Kumpulan Samling untuk menjalin kerjasama.

Kerjasama itu bertujuan untuk mengoptimumkan pengeluaran, mengurus peralatan, menyelia rantaian bekalan dan meningkatkan kecekapan operasi di CPPC dan Stesen Pertanian Tanah Tinggi Bersepadu (IHAS) di Betong, Sarikei dan Long Banga.

Selain itu, kerjasama tersebut juga menumpu untuk memperkasa petani tempatan menerusi pindahan ilmu pengetahuan dan menggalakkan amalan kaedah pertanian mesra alam.

-- BERNAMA