BERITA TERKINI   Tiga maut, tiga parah dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Kampung Paloh, Gua Musang hari ini - Bomba Kelantan | Sindiket dadah tumpas di Taman Bukit Indah, dadah bernilai RM2.07 juta dirampas dan lima lelaki ditahan - Polis Johor | Agihan BAP kepada 5.2 juta murid libatkan peruntukan RM800 juta dijangka selesai minggu ini -Fadhlina | Sekolah diingatkan agar tidak potong BAP, berikan sepenuhnya RM150 - Fadhlina | MCMC pertimbang saman X susulan Grok gagal patuhi undang-undang keselamatan negara - Fahmi | 

NCIA Bantu Realisasikan Perjanjian Usaha Sama Yenher-FE Bernilai RM75 Juta

GEORGE TOWN, 14 Sept (Bernama) -- Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) membantu merealisasikan perjanjian usaha sama antara Yenher Holdings Bhd (Yenher) dan syarikat bioteknologi perintis dari Denmark Fermentationexperts A/S (FE) untuk membentuk YH European Protein Asia Sdn Bhd (YHEPA).

NCIA dalam satu kenyataan hari ini berkata pada peringkat permulaan, YHEPA akan menukar kemudahan sedia ada di Simpang Ampat, Pulau Pinang, kepada kilang pembuatan bertaraf GMP+ yang canggih dengan pelaburan bagi fasa pertama ini dianggarkan berjumlah RM75 juta.

Menurutnya, perkongsian ini memanfaatkan kepakaran teknologi penapaian termaju FE dan keupayaan pembuatan dan rangkaian pengedaran Yenher yang meluas untuk menghasilkan rangkaian protein tumbuhan baharu yang mementingkan alam sekitar dan kos efektif untuk ternakan dan akuakultur.

Usaha sama itu akan memberi tumpuan kepada aktiviti mengubah produk sampingan tumbuhan seperti kacang soya, biji sesawi, serta makanan rumpai laut kepada bahan makanan bernilai tinggi

"Peringkat seterusnya ialah membangunkan sebuah lagi loji makanan isirong sawit khusus. Usaha sama itu dijangka mewujudkan 16 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan pengurusan di Malaysia.

."Operasi dijangka bermula pada Suku Keempat 2025, sekali gus meletakkan YHEPA bersedia untuk memenuhi pasaran yang sedang berkembang di seluruh Asia Tenggara dan Taiwan, termasuk Vietnam, Indonesia dan Filipina," kata NCIA.

Pengerusi Eksekutif Yenher, Datuk Cheng Mooh Tat berkata usaha sama tersebut merupakan penjajaran strategik komitmen Yenher terhadap kemampanan dan inovasi dengan kepakaran FE dalam bioteknologi

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas FE, Jens Legarth berkata kerjasama itu bukan sahaja akan dapat meningkatkan kualiti bahan makanan tetapi juga menangani cabaran global yang kritikal seperti memastikan keterjaminan makanan dan menangani kekurangan, meningkatkan kesihatan haiwan secara semula jadi dan mengurangkan kesan alam sekitar ke atas pengeluaran makanan.

"Ini hanyalah permulaan era baharu dalam biosolution pertanian," kata Legarth.

-- BERNAMA