BERITA TERKINI   Kelayakan Piala Asia 2027: Laos 0-3 Malaysia | FFC x TMTG : Beberapa sukarelawan Malaysia dikasari termasuk ditendang, ditampar atau dicengkam secara agresif oleh rejim Israel - CEO MyCARE | Perkhidmatan tren LRT antara Stesen Universiti dan Abdullah Hukum alami gangguan bekalan kuasa, kerja baik pulih sedang dijalankan - RapidKL | PKS perlu terima pakaiĀ teknologi baru muncul seperti AI, robotik dan automasi, pengkomputeran kuantum, IoT dan Gen-AI untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam rantaian bekalan global - Tengku Zafrul | 

Perlis Dijangka Terima Pelaburan Baharu Dari China

KANGAR, 13 Sept (Bernama) -- Perlis, terutamanya Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) dijangka menerima beberapa pelaburan baharu dari China, kata Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Kedah dan Perlis Mohd Rushdan Mohd Ghazali. 

Beliau berkata perkara itu yang sedang dalam rundingan melibatkan pelaburan dalam industri kenderaan elektrik (EV).

“Ini mungkin ambil masa. Kita tidak dapat menganggarkan bila kita akan menerima pelaburan ini berikutan ia masih dalam rundingan,” katanya kepada pemberita selepas sesi dialog MIDA bersama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tiong Hwa Perlis di sini.

Katanya Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) memfokuskan kepada empat kluster iaitu industri hijau, industri halal termasuk farmaseutikal, EV dan tenaga boleh baharu.

Dalam pada itu, Mohd Rushdan berkata banyak syarikat terutamanya dari China melihat Kulim dan Sungai Petani, Kedah sebagai berpotensi untuk mereka melabur terutamanya dalam industri semikonduktor.

“Hab (industri semikonduktor) di Pulau Pinang dan Kedah (Kulim). Kami mahu melihat pelaburan dalam industri semikonduktor berkembang hingga ke bahagian utara Kedah dan juga Perlis.

“Banyak syarikat dari China kini memberi tumpuan terutamanya kepada Kulim dan Sungai Petani. Kami mahu melihat pelaburan tersebut terus meningkat,” katanya.

 -- BERNAMA