Isnin, 25 Mei 2020
TIMUR
21/05/2020 05:15 PM

KUALA TERENGGANU, 21 Mei  -- Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Terengganu membelanjakan sejumlah RM2.9 juta untuk bayaran faedah keselamatan sosial sejak Januari hingga April tahun ini.

Pengarahnya, Farihah Che Husin, berkata bayaran tersebut merangkumi lapan kategori termasuk hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, faedah orang tanggungan dan faedah pengurusan mayat.

“Faedah PERKESO ini amat penting bagi memastikan pencarum yang kemalangan atau ditimpa musibah mendapat faedah di bawah Perkeso untuk menjamin kesejahteraan sosial mereka,” katanya kepada pemberita ketika menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri di Kampung Tanjung Bunut, Manir, di sini.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah PERKESO, Datuk Azih Muda berkata seramai 26 orang anak angkat PERKESO di Terengganu telah menerima sumbangan berbentuk hamper dan duit raya yang diagihkan secara berperingkat, sejak semalam.

Selain itu, beliau turut menyampaikan Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 dan Pencen Faedah Orang Tanggungan kepada keluarga Muhammad Hazwan Hafizuddin Ishaq Nazri, 19, yang maut dalam kemalangan ketika ke tempat kerja, Isnin lepas.

Ibu kepada Muhammad Hazwan, Nur Hayani Mohamad, 39, berkata walaupun masih bersedih dengan kehilangan anak sulung daripada empat beradik itu, beliau tetap bersyukur kerana niat Muhammad Hazwan untuk terus berbakti kepada keluarga tetap tercapai.

“Arwah semasa hayatnya bercita-cita untuk menjadi seorang askar kerana dengan pekerjaan itu beliau dapat menanggung keluarga dengan gaji tetap yang diterima setiap bulan.

“Tak sangka niat untuk menanggung keluarga itu masih dapat dilakukan tetapi dengan cara berbeza. Alhamdullilah kami bakal menerima pencen faedah orang tanggungan sebanyak RM1,000 sebulan, hasil caruman arwah sepanjang bekerja sebagai pekerja am di sebuah pasar raya di Gong Badak,” katanya.

Hayani berkata pencen faedah yang diterima itu akan dimanfaatkan sebaiknya untuk menampung perbelanjaan tiga lagi anaknya yang berusia antara 12 dan 18 tahun yang kini masih belajar.

-- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan