KUCHING, 2 Dis (Bernama) -- Tangkapan terhadap kes aktiviti penyalahgunaan dadah dan bahan meningkat sebanyak 11,717 atau 15.75 peratus berbanding 10,122 tangkapan bagi tempoh sama tahun lepas.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata jumlah rampasan melibatkan barang terlarang berkenaan juga telah berjaya menyekat sebanyak 155,204 kali penggunaan serta menyelamatkan 51,400 individu untuk tempoh sebulan di Sarawak.
“Selain itu, terdapat peningkatan sebanyak 13.27 peratus atau 5,316 individu tampil secara sukarela untuk mendapatkan rawatan dan pemulihan berbanding tempoh yang sama bagi 2024 iaitu sebanyak 4,693 dan mengekalkan kepulihan individu daripada ketagihan dadah.
“Kerajaan negeri telah memberi pengiktirafan dengan menganugerahkan medalion kepada 83 individu yang berjaya membebaskan diri daripada cengkaman dadah selama lima tahun berturut-turut,” katanya ketika penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini.
Beliau berkata pendekatan bersepadu kerajaan Sarawak turut mendapat perhatian Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) yang bersetuju untuk bekerjasama dalam usaha meningkatkan kapasiti latihan, membangunkan modul pencegahan berasaskan bukti serta membina rangkaian global untuk meningkatkan keberkesanan intervensi sedia ada.
Fatimah berkata sistem penguatkuasaan undang-undang dan kelancaran proses pendakwaan juga memainkan peranan penting dan beliau berpandangan keberkesanan itu dapat diperkukuh dengan meningkatkan kekerapan persidangan Mahkamah Litar kepada tiga kali sebulan bagi mempercepat proses pertuduhan.
“Kita juga berpandangan pertambahan dua unit patologi kimia di Jabatan Patologi Sarawak bagi zon tengah dan utara adalah wajar bertujuan mempercepat tempoh pengeluaran laporan patologi serta melancarkan proses pendakwaan,” katanya.
Beliau berkata statistik daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak merekodkan 20 kes melibatkan 26 tangkapan atas kesalahan memiliki cecair rokok elektronik atau vape yang mengandungi bahan terlarang, dengan jumlah rampasan sebanyak 1,416.15 mililiter sejak 2023.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial