GEORGE TOWN, 2 Dis (Bernama) -- Seorang saintis di sebuah syarikat swasta di sini kerugian RM466,078 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian dikenali sebagai Digital Realtyv pada September lepas.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata mangsa seorang lelaki berusia 26 tahun tampil membuat laporan di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya semalam.
Beliau berkata mangsa mendakwa mengenali suspek pada awal September melalui aplikasi Xuon Hong Shu dan kemudian menawarkan pelaburan perdagangan mata wang asing yang menjanjikan keuntungan tip tinggi dalam masa singkat daripada jumlah modal yang dilaburkan.
“Mangsa yang berminat menyertai pelaburan itu telah diminta memuat turun aplikasi Digital Realtyv bagi pendaftaran keahlian dan melabur dalam pelaburan tersebut.
“Pada 6 Okt, mangsa telah membuat pembayaran kali pertama berjumlah RM4,500 ke dalam sebuah akaun atas nama individu dan menerima pulangan RM4,754 pada hari sama," katanya dalam kenyataan hari ini.
Azizee berkata berikutan yakin dengan pelaburan itu, mangsa kemudian menambah modal hingga RM466,078.51 melalui 13 transaksi ke tujuh akaun bank berbeza antara 6 Okt hingga 17 Nov lepas.
Beliau berkata mangsa hanya menyedari ditipu apabila gagal mengeluarkan keuntungan daripada aplikasi terbabit dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial