
Hampir keseluruhan aspek kehidupan masa kini bergantung pada tenaga elektrik, menjadi denyut nadi yang menggerakkan rutin harian, memacu dan mempermudah urusan berbilion manusia di muka bumi.
Permintaan terhadapnya terus meningkat seiring pertambahan penduduk dan perkembangan teknologi. Lebih-lebih lagi dengan kemunculan pusat-pusat data yang begitu gelojoh menelan tenaga elektrik demi mempermudahkan lagi kehidupan manusia.
Namun di sinilah timbulnya dilema, kerana di sebalik kepentingannya itu hadir kesan ke atas alam sekitar yang kian dirasai, mendorong usaha mencari alternatif agar elektrik dapat dijana secara lebih bersih, tidak lagi bergantung pada bahan api fosil yang menyumbang kepada pencemaran alam sekitar menerusi pelepasan karbon.
Berpegang pada matlamat sifar bersih karbon 2050 atau sifar bersih, kebanyakan negara di dunia kini meningkatkan penggunaan tenaga boleh baharu (TBB), dan Malaysia juga tidak ketinggalan menyatakan komitmennya menerusi Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dengan sasaran 70 peratus TBB menjelang 2050.
Pun begitu, tidak seperti negara-negara maju, Malaysia berdepan dilema - bagaimana mahu memastikan rakyatnya menerima bekalan tenaga bersih mencukupi pada kos berpatutan?
pic-2
TRILEMA TENAGA
Menurut badan pemikir tenaga Ember, Malaysia masih bergantung pada bahan api fosil untuk penjanaan 81 peratus elektriknya pada 2024, dan sumber terbesar tenaga bersih datang daripada hidro (16 peratus) sementara janaan angin dan solar pula sekadar dua peratus, jauh di bawah purata global pada 15 peratus.
Malaysia menyasarkan penjanaan sekitar 24 peratus TBB menjelang 2030, berbanding sasaran global 60 peratus yang ditetapkan oleh Agensi Tenaga Antarabangsa dalam Pelepasan Sifar Bersih.
Pakar tenaga yang juga Pengarah Urusan Rosergy Consulting Rosman Hamzah berkata Malaysia perlu menyeimbangkan antara jaminan tenaga, caj berpatutan dan kelestarian alam ketika mengusahakan matlamat sifar bersih.
Katanya keutamaan Malaysia sejak sekian lama ialah memastikan bekalan tenaga berterusan serta terjamin dengan kos kekal berpatutan bagi isi rumah dan juga perniagaan, namun pada masa sama kelestarian alam sekitar juga kian penting seiring dengan komitmen negara terhadap perubahan iklim.
“Masa depan campuran tenaga Malaysia akan mengalami perubahan struktur yang besar, khususnya dengan peningkatan lima kali ganda dalam pengeluaran TBB menjelang 2050, yang sebahagian besarnya datang daripada solar dan hidro.
“Kapasiti solar sahaja dijangka berkembang daripada 5.4 gigawatt ketika ini kepada antara 56 hingga 60 gigawatt,” katanya pada forum perubahan iklim AlterCOP30, baru-baru ini.
pic-3
Bagaimanapun kata Rosman, di sebalik peningkatan TBB, penggunaan gas asli akan kian bertambah dengan lebih banyak loji tenaga berasaskan gas diperlukan bagi terus menyokong keterjaminan sistem.
“Sekalipun gas menampung hanya sejumlah kecil daripada kapasiti tersedia, kita akan terus membina lebih banyak loji turbin gas menjelang 2050. Ini bermakna kerajaan perlu menanggung kos elektrik lebih tinggi memandangkan lebih banyak gas asli diimport bagi menyokong permintaan terhadap tenaga,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau berkata kerajaan mungkin perlu menambah baik NETR kerana sejak pelancaran pelan itu sektor tenaga negara telah mengalami banyak perubahan termasuk pertumbuhan permintaan tenaga oleh pusat data, inisiatif perdagangan elektrik rentas sempadan dan syor penggunaan tenaga nuklear dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13).
Menurut Rosman, kejayaan pelan peralihan tenaga juga bergantung pada kesaksamaan hak terhadap tenaga, iaitu bukan hanya dari segi subsidi tetapi memastikan semua rakyat dapat menikmati kemudahan itu.
TRANSITIONZERO: TENAGA BERSIH LEBIH JIMAT, KURANGKAN PELEPASAN
Berdasarkan laporan firma penganalisis iklim TransitionZero yang diterbitkan pada 16 Okt lalu, Malaysia dijangka dapat menjimatkan lebih US$700 juta (RM3.3 bilion) setahun dan mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 1.8 juta tan menerusi peralihan kepada tenaga bersih masa nyata yang bersumberkan solar, hidro atau simpanan tenaga bateri.
Kajian itu juga mendapati bahawa menggantikan padanan sijil TBB tahunan dengan padanan setiap jam - penggunaan tenaga ditampung oleh tenaga bersih mengikut jam - dapat mengurangkan lebih banyak pelepasan karbon selain menikmati penjimatan kos yang lebih besar.
“Padanan setiap jam ialah satu strategi yang akan tidak merugikan. Ia mengurangkan kos, mengukuhkan kestabilan sistem dan meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam peralihan tenaga bersih Asia Tenggara,” kata Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif TransitionZero Matt Gray.
TransitionZero seterusnya mengesyorkan agar sasaran tujuh gigawatt tenaga solar Malaysia ditingkatkan tiga kali ganda, menghapuskan had 15 peratus bagi penjualan balik tenaga serta menurunkan caj “wheeling” bagi meluaskan akses pembelian TBB korporat.
Menurutnya, pembaharuan itu akan menjadikan Malaysia lebih menarik bagi industri berasaskan tenaga, dari pengilang semikonduktor kepada pusat data yang kini di bawah tekanan untuk “membersihkan” rantaian bekalan tenaga mereka.
PUSAT DATA “SEDUT” BANYAK TENAGA
Dalam Malaysia memburu pencapaian 70 peratus TBB menjelang 2050 di bawah NETR, pertumbuhan pesat pusat data yang didorong oleh pelaburan global, menimbulkan persoalan sama ada grid nasional mampu menampung keperluan industri yang pesat berkembang dan isi rumah.
Menurut laporan KPMG, kapasiti pusat data Malaysia dijangka meningkat sekali ganda dari 1.26 gigawatt kepada 2.53 gigawatt dalam tempoh 2025 hingga 2030.
TNB juga mengunjurkan permintaan berpotensi daripada pusat data mencecah 5,000 megawatt menjelang 2035 dengan permohonan sudah melepasi 11,000 megawatt.
pic-4
Di sebalik lonjakan ini, tarif Tempoh Kawal Selian 4 dari Julai 2025 hingga Disember 2027 memastikan pengguna kediaman voltan rendah kekal dilindungi dengan penurunan tarif efektif daripada 55.95 sen/kWh (kilowatt per jam) kepada 45.4 sen/kWh.
Kira-kira 71 peratus pengguna voltan sederhana juga dijangka menikmati faedah itu, sementara pengguna kuasa tinggi seperti pusat data akan membayar tarif lebih tinggi.
Namun, adakah pusat data benar-benar boleh “mengambil” elektrik daripada penduduk?
Pengarah Institut Dasar Tenaga dan Penyelidikan Universiti Tenaga Nasional Dr Nora Yusma Mohamed Yusoff menjelaskan pusat data dan kediaman beroperasi di lapisan voltan berbeza, iaitu mereka tidak “berebut” saluran bekalan elektrik yang sama.
“Pusat data bersambung dengan voltan yang sangat tinggi iaitu 500 kV dan 275 kV, sementara kediaman pula menerima bekalan daripada substesen voltan rendah dan sistem direka bentuk bagi memastikan kedua-dua pengguna mempunyai bekalan mencukupi,” katanya kepada Bernama.
Tegasnya, sekalipun pusat data meningkatkan permintaan keseluruhan, Malaysia masih mampu mencapai matlamat 70 peratus kapasiti TBB tanpa membebankan isi rumah, selagi pusat data membayar kos tinggi, tarif yang mencerminkan kos dan memperoleh kontrak TBB jangka panjang.
Bagi menyokong peningkatan permintaan tenaga daripada pusat data, kerajaan telah memperkenalkan Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) pada 2024 yang membenarkan pengguna besar membeli TBB secara langsung daripada pengeluar dan membayar caj akses untuk bersambung dengan grid.
pic-5
Penganalisis tenaga di firma perundingan Baringa, Evan Ng berkata caj akses sistem itu boleh disemak semula hingga 15 peratus setiap tiga tahun, iaitu tempoh kawal selia.
“Caj akses sistem ini ialah fi yang dibayar kepada penjana bagi membenarkan pembeli tenaga menggunakan grid penjana tenaga untuk memindahkan kuasa. Bagaimanapun CRESS hanya relevan bagi pengguna besar tenaga seperti pusat data yang mempunyai perjanjian pembelian kuasa dengan penjana TBB.
“Jadi, sekalipun pengguna domestik juga perlu menyemak semula kos setiap tiga tahun, aras siling 15 peratus bagi CRESS tidak terpakai kepada mereka,” katanya dalam e-mel kepada Bernama.
SOLAR, NUKLEAR DAN SEMAKAN SEMULA TARIF
Usaha Malaysia untuk menjadi hab pusat data serantau yang dijangka meningkatkan secara ketara penggunaan elektrik, turut mencetuskan polemik penggunaan tenaga nuklear.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang turut memegang porfolio Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, baru-baru ini berkata kerajaan merancang untuk meneroka penggunaan tenaga nuklear di bawah RMK-13 sebagai sebahagian daripada strategi tenaga bersih.
Nora Yusma bersetuju bahawa tenaga nuklear kini merupakan pilihan yang kredibel dalam usaha Malaysia mencapai sasaran sifar bersih, namun beliau menambah, “Kita masih belum mempunyai data kos mencukupi untuk menjanjikan yang ia akan menurunkan tarif.”
Beliau berkata dalam jangka terdekat, sebarang projek nuklear berkemungkinan meningkatkan kos sistem sepanjang tempoh pembinaan dan tempoh awal pembayaran balik.
“Dalam jangka panjang pula, jika projek dapat disiapkan mengikut jadual, menepati peruntukan dan dibiayai pada kos yang rendah, tenaga nuklear boleh membantu menstabilkan harga elektrik dengan mengurangkan kebergantungan pada bahan api import yang tidak menentu serta menyediakan kapasiti rendah karbon yang kukuh bagi menyokong kadar penjanaan tinggi daripada tenaga solar dan TBB lain.”
“Dalam jangka masa terdekat, sebarang projek nuklear berkemungkinan meningkatkan kos sistem semasa tempoh pembinaan dan tempoh pembayaran awal.
“Dalam jangka panjang, jika projek disiapkan mengikut jadual dan mengikut peruntukan serta dibiayai pada kos rendah, tenaga nuklear boleh membantu menstabilkan harga elektrik dengan mengurangkan pendedahan kepada bahan api import yang tidak stabil serta menyediakan kapasiti rendah karbon yang kukuh untuk menyokong peratusan tinggi tenaga solar dan TBB lain.
“(Tenaga nuklear) boleh menjadi sebahagian daripada penyelesaiannya dan mungkin membantu kestabilan harga jangka panjang, namun ia bukan jalan pintas ‘elektrik murah’ yang terjamin, dan segala-galanya bergantung pada tadbir urus projek dan pembiayaan, bukan teknologi semata-mata,” katanya.
pic-6
Ng daripada Baringa juga bersetuju, dan mencadangkan kerajaan menggubal rangka kerja tadbir urus dan kawal selia yang cekap bagi mendapatkan persetujuan umum terhadap penggunaan tenaga nuklear.
“Bergantung sepenuhnya pada TBB dan penyimpanan tenaga bukan sahaja mahal, malah mungkin tidak dapat menjamin bekalan elektrik stabil 24/7. Tenaga nuklear pula boleh membantu menurunkan keseluruhan kos sistem berbanding pergantungan kepada TBB semata-mata dan penggunaan BESS dalam jumlah besar, khususnya disebabkan sifat tidak menentu tenaga solar dan angin,” katanya.
JADIKAN TENAGA SOLAR LEBIH MAMPAN
Secara purata, Malaysia menerima cahaya matahari memuncak antara empat ke enam jam setiap hari, menjadikan tenaga solar sebagai amat berdaya maju dan sumber TBB berpotensi.
Bagaimanapun, disebabkan oleh sifat tenaga solar yang tidak stabil, permintaan puncak tenaga Malaysia beralih ke waktu malam, satu trend yang menjadi faktor utama dalam pembaharuan tarif elektrik yang diperkenalkan pada Julai lalu untuk mencerminkan dinamik pasaran dengan lebih baik.
Bagi menguruskan perubahan ini, Suruhanjaya Tenaga (ST) sedang menilai pelaksanaan BESS untuk merapatkan jurang antara penjanaan dan permintaan puncak, dengan tujuan meratakan “duck curve” yang semakin ketara di negara ini.
Dengan semakan semula kos elektrik TNB, peningkatan kesedaran mengenai TBB serta pelancaran program Solar ATAP (Atas Atap) yang sangat dinanti-nantikankan pada 2025, lebih banyak isi rumah beralih kepada solar untuk menikmati penjimatan jangka panjang dan kebebasan tenaga.
(Solar ATAP atau Accelerated Transition Action Programme, dilancarkan pada Isnin (1 Dis) bagi menggantikan skim Net Energy Metering (NEM) yang ditutup kepada permohonan baharu pada 30 Jun.)
Menurut Nora Yusma, walaupun grid TNB sedang menuju ke arah kesiapsiagaan TBB sebanyak 70 peratus, ia masih belum benar-benar bersedia untuk menerima TBB seperti solar.
“Pelaburan lima hingga 10 tahun akan datang, terutamanya dalam koridor penghantaran ke kawasan kaya TBB dan kawasan yang menempatkan banyak pusat data, penyimpanan berskala besar, kawalan digital grid pengagihan serta penyambungan serantau akan menentukan sama ada sasaran 70 peratus NETR boleh dicapai sambil pada masa sama mengekalkan kebolehpercayaan dan kemampuan untuk rakyat,” katanya.
Pengarah Institut Penyelidikan Tenaga Solar (SERI) Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Norasikin Ahmad Ludin berkata pelaburan awal RM43 juta untuk menaik taraf grid kuasa berfungsi sebagai bayaran pendahuluan bagi kestabilan harga jangka panjang yang berpotensi melindungi isi rumah daripada kejutan tenaga global pada masa depan.
pic-7
“Namun, kos infrastruktur solar, penyimpanan bateri dan penaiktarafan grid adalah besar dan jika tidak diuruskan dengan teliti, ia boleh dipindahkan kepada pengguna melalui tarif yang tinggi sedikit dalam jangka masa pendek.
“Kesimpulannya, ledakan pusat data menyerlahkan keperluan mendesak pelaburan ini. Dengan memperkukuh grid kita untuk tenaga bersih secara proaktif, kita boleh membekalkan kuasa kepada industri baharu tanpa mengambil kapasiti daripada kediaman.
“Matlamatnya ialah menang-menang: menarik pelaburan teknologi tinggi yang memberi manfaat kepada ekonomi kita sambil memastikan elektrik yang menggerakkan kehidupan seharian kekal stabil dan mampu milik untuk semua,” katanya.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial