WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Remaja Bertindak Sendirian Dalam Letupan Sekolah Di Jakarta Utara, Tiada Kaitan Dengan Pengganas - Polis

12/11/2025 08:54 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 12 Nov (Bernama) -- Polis Indonesia menolak kemungkinan ada unsur keganasan dalam siri letupan di sebuah sekolah di Jakarta Utara minggu lepas yang mencederakan 96 orang, dan mengesahkan letupan itu dilakukan oleh seorang pelajar berusia 17 tahun yang bertindak sendirian.

Empat peranti buatan sendiri meletup di tiga lokasi di Sekolah Menengah Atas Negeri (SMAN) 72 pada 7 Nov, di kawasan perumahan Tentera Laut di Kelapa Gading, menyebabkan pelajar dan kakitangan bertempiaran menyelamatkan diri.

Tiga lagi peranti di dua lokasi berasingan berjaya dimatikan dengan selamat, kata Ketua Polis Jakarta  Asep Edi Suheri dalam satu kenyataan pada Rabu.

“Suspek bertindak secara bersendirian dan tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana rangkaian pengganas,” katanya sambil menambah bahawa 18 saksi termasuk guru, pelajar, mangsa dan ahli keluarga suspek telah diambil keterangan.

Beliau berkata penyiasat masih menganalisis keputusan forensik bahan letupan dan data digital daripada peranti milik suspek.

Daripada 96 mangsa yang cedera, 67 mengalami kecederaan ringan, 26 sederhana dan tiga parah. Seramai 68 orang telah dibenarkan pulang, manakala 28 lagi masih dirawat di tiga hospital.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Pesuruhjaya Iman Imanuddin berkata suspek bertindak akibat tekanan emosi.

“Dia berasa terasing dan percaya tiada siapa yang boleh dikongsikan masalahnya,” katanya sambil menambah bahawa polis sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Perlindungan Kanak-Kanak.

Suspek sedang disiasat di bawah Undang-Undang Perlindungan Kanak-Kanak, Kanun Keseksaan dan Undang-Undang Darurat, namun akan dilayan sebagai seorang di bawah umur.

Unit antipengganas Densus 88 berkata remaja itu mendapat inspirasi daripada individu yang menyerang orang ramai di luar negara, selepas menulis lebih enam nama pada senjata mainan yang dijumpai di tempat kejadian.

Antara nama yang ditulis ialah penembak di masjid Christchurch Brenton Tarrant, penyerang masjid Quebec Alexandre Bissonnette dan penembak sekolah di Madison, Amerika Syarikat, pada 2024.

Suspek dilaporkan menghabiskan masa berjam-jam dalam komuniti dalam talian yang mengagungkan keganasan dan sejak awal tahun ini mencari cara untuk meluahkan kemarahannya.

“Dalam kumpulan itu, keganasan dianggap sesuatu yang diraikan dan dia mahu mendapat perhatian,” kata jurucakap Densus 88, Pesuruhjaya Polis Mayndra Eka Wardhana.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan