WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Isu Tamat Tempoh Senator Tidak Pernah Dibangkitkan - Saifuddin Nasution

12/11/2025 07:52 PM

PUTRAJAYA, 12 Nov (Bernama) -- Isu tamat tempoh mandat Ahli Dewan Negara atau senator tidak pernah dibangkitkan dalam perbincangan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Malah, beliau mengakui perkara berkenaan tidak terlintas dalam fikirannya sepanjang menjalankan tugas sebagai menteri sejak dilantik pada November 2022, walaupun tempoh beliau sebagai senator akan tamat awal bulan depan.

"Saya dengan kesibukan bekerja, tak terfikir pun tajuk (senator) itu. Saya pun tak teringat kalau tidak ditanya... begitulah komitmen kerja saya, sampai saya pun tak terfikir senatorship saya tamat bila atau apa yang akan berlaku pada saya. Saya langsung tidak tumpu ke situ," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Simposium Kecerdasan Buatan (AI) Transformasi Keselamatan 2025 di sini hari ini.

Selain Saifuddin Nasution yang baru sepenggal dilantik sebagai senator, tempoh senator beberapa menteri lain dijadual tamat 2 Dis ini termasuk Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang telah menjadi senator selama dua penggal.

Selain itu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Mengenai desas-desus rombakan Kabinet, Saifuddin Nasution yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan percaya kepada kebijaksanaan Perdana Menteri untuk membuat keputusan berhubung perkara itu.

"Sekarang sudah tiga tahun beliau (Anwar) menjadi Perdana Menteri, jadi saya fikir beliau berada pada kedudukan terbaik untuk menyusun pasukan bila sampai masanya,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan