WILAYAH - SELATAN > BERITA

Lelaki Pakistan Disyaki Mabuk, Pandu Kereta Hingga Terbabas Ditahan

20/07/2025 06:25 PM

JOHOR BAHRU, 20 Julai (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki Pakistan dipercayai memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol hingga terbabas ke dalam sebuah restoran di Jalan Riang Utama, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata suspek berusia 45 tahun yang memandu Perodua Kelisa itu juga nekad untuk terjun dari tembok bagi melarikan diri daripada polis. 

“Kereta dipandu lelaki itu dilaporkan terbabas ke dalam restoran pada 6.30 petang, namun lelaki itu bertindak mengundurkan kenderaan itu dan melanggar beberapa motosikal di hadapan restoran serta sebuah kereta di bahu jalan.

“Orang awam di tempat kejadian cuba memberhentikan kereta terbabit, namun lelaki itu terus memandu kenderaan itu bagi melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik mengesan kereta suspek di Lebuhraya Pasir Gudang menghala ke Taman Perling, namun lelaki itu juga tidak mengendahkan arahan untuk berhenti. 

“Lelaki itu akhirnya memberhentikan kereta di Kilometer 8 lebuh raya itu dan melarikan diri dengan melintas jalan serta memanjat pagar sempadan jalan sebelum nekad terjun dari tembok setinggi dua meter. 

“Dia akhirnya ditahan dalam keadaan lemah dan cedera di beberapa anggota badan,” katanya.

Raub berkata lelaki itu dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk rawatan dan diambil sampel darah bagi siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kemalangan. 

Lelaki itu juga, katanya disiasat di bawah Seksyen 26(1) APJ 1987 kerana tidak mempunyai lesen memandu sah dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak mempunyai dokumen perjalanan sah. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan