ESSEN (Jerman), 20 Julai (Bernama) -- Kontinjen negara yang masih memburu kilauan pingat seterusnya menutup saingan hari keempat temasya Sukan Universiti Dunia (WUG) Rhine-Ruhr 2025 lebih awal selepas kem taekwondo dan renang terkandas di pusingan awal hari ini.
Fu Cern Put Thai, yang menjadi wakil tunggal skuad taekwondo negara beraksi hari ini, terpaksa akur dengan kehebatan lawan dari Turkiye Enes Kaplan 0-2 pada aksi pusingan pertama acara kyorugi -58 kilogram (kg) di Messe Essen di sini.
Kekalahan Fu Cern menyaksikan taekwondo masih tercari-cari kilauan pingat memasuki hari keempat temasya dwitahunan itu sekali gus memberi tamparan dalam pemburuan tujuh pingat kontinjen negara.
Dalam saingan di Schwimm- und Sprunghalle im Europasportpark, Berlin pula, dua atlet renang Lim Yin Chuen dan Arvin Shaun Singh Chahal masing-masing gagal mara ke peringkat separuh akhir acara 100 meter (m) gaya bebas lelaki selepas terkandas dalam saringan tujuh.
Bagaimanapun, Arvin berjaya memperbaharui catatan peribadi terbaiknya iaitu 50.13 saat (s) selepas merakam 50.05s untuk menamatkan perlumbaan di tempat kelima manakala Yin Chuen mengakhiri saingan di posisi ketujuh dengan masa 50.28s.
Sebagai rekod, jaguh renang negara Khiew Hoe Yean menghadiahkan Malaysia pingat pertama selepas merangkul perak dalam acara 400m gaya bebas lelaki, Khamis lepas.
Renang dan taekwondo masih berpeluang menyumbang pingat sehingga hari terakhir pertandingan pada Rabu (23 Julai).
Selain itu, jelmaan kilauan pingat turut dijangka hadir menerusi sukan olahraga, memanah dan gimnastik artistik yang bakal membuka tirai saingan esok.
Pada edisi yang sedang berlangsung hingga 27 Julai ini, Malaysia mengambil bahagian dalam enam daripada keseluruhan 19 jenis sukan dipertandingkan iaitu gimnastik, badminton, memanah, olahraga, renang dan taekwondo dengan penglibatan keseluruhan 64 atlet.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial