Oleh Noraizura Ahmad
KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Kebakaran hutan dan belukar yang dilaporkan sejak beberapa hari lepas dipercayai berpunca daripada perbuatan manusia, kata Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad.
Beliau berkata keadaan cuaca ketika ini tidak cukup panas untuk mencetuskan kebakaran secara semula jadi.
“Penyalaan sendiri tak mungkin berlaku dengan cuaca sekarang. Jadi, besar kemungkinan kebakaran ini berpunca daripada manusia, walaupun kita tidak membuat siasatan forensik khusus,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Nor Hisham berkata antara kejadian terkini ialah kebakaran hutan seluas kira-kira 1.2 hektar di kawasan bukit Kajang Prima, Selangor semalam, yang memerlukan 22 anggota bomba serta empat jentera untuk memadamkan kebakaran terbabit.
Sebelum itu, kejadian kebakaran belukar dilaporkan berlaku berhampiran kawasan Bukit Jalil di sini, sehingga memaksa pasukan bomba mengambil tindakan pantas bagi mengawal api daripada merebak ke kawasan berhampiran.
Nor Hisham berkata sebanyak 7,223 kes kebakaran direkodkan di seluruh negara bagi tempoh 1 Jan hingga semalam, membabitkan kebakaran kebun atau ladang, hutan, belukar dan sampah.
Kebakaran belukar atau lalang mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu 4,733 kes diikuti kebakaran sampah (1,662 kes), hutan (537 kes) dan kebun atau ladang (291 kes).
Selangor merekodkan jumlah kes tertinggi dengan 1,364 kejadian diikuti Perak (938), Johor (831), Kedah (662), Kuala Lumpur (113) dan Labuan (44), manakala Putrajaya mencatatkan jumlah terendah dengan lapan kes.
Sementara itu, beberapa kawasan di Selangor dan Negeri Sembilan masing-masing termasuk Johan Setia dan Nilai merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat hari ini, dipercayai berpunca daripada asap kebakaran hutan di Indonesia yang dibawa angin ke Semenanjung Malaysia.
Sehubungan dengan itu, Nor Hisham menasihati orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan segera melaporkan sebarang tanda awal kebakaran bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial