WILAYAH - SARAWAK > BERITA

WUG 2025: Selepas Hoe Yean, Kontinjen Negara Masih Menanti Pingat Seterusnya

19/07/2025 10:01 PM

Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

ESSEN (Jerman), 19 Julai (Bernama) -- Kontinjen negara ke Sukan Universiti Dunia (WUG) Rhine-Ruhr 2025 masih menantikan kilauan pingat seterusnya selepas pencapaian membanggakan jaguh renang Khiew Hoe Yean di Berlin, Khamis lepas.

Pingat perak diraih Hoe Yean dalam acara 400 meter (m) gaya bebas lelaki itu menandakan kontinjen negara memerlukan enam pingat lagi untuk mencapai sasaran tujuh pingat tanpa mengira warna yang ditetapkan.

Dalam saingan yang memasuki hari ketiga, Malaysia masih belum berjaya menjelmakan pingat selepas atlet taekwondo Ahmad Nor Iman Hakim Rakib terkandas di pusingan awal acara kyorugi lelaki -68 kilogram (kg) di Messe Essen, di sini.

Atlet renang Goh Andrew Zheng Yen turut kandas di pusingan awal 200m kuak dada lelaki di Schwimm- und Sprunghalle im Europasportpark.

Namun, kem badminton menghidupkan peluang membawa pulang pingat dalam acara berpasukan campuran apabila mara ke suku akhir selepas menumpaskan Perancis 3-0 pada aksi pusingan 16 terbaik di Westenergie Sporthalle, Mulheim an der Ruhr.

Anak buah legenda Datuk Rashid Sidek itu akan membuat perhitungan berdepan India dalam saingan peringkat lapan terbaik malam ini (awal pagi Ahad waktu Malaysia).

Sekiranya berjaya mara ke separuh akhir, skuad negara akan bertemu antara Taiwan dan Jepun esok yang berentap dalam satu lagi aksi suku akhir.

Sementara itu, skuad renang meneruskan cabaran esok apabila Lim Yin Chuen dan Arvin Shaun Singh Chahal masing-masing akan bersaing dalam saringan tujuh acara 100m gaya bebas lelaki.

Kem olahraga yang tiba semalam akan meneruskan sesi latihan dan penyesuaian venue pertandingan di Lohrheidestadion, Bochum esok menjelang aksi saingan yang bermula Isnin.

Dalam pada itu, setakat 3.30 petang (9.30 malam waktu Malaysia), Amerika Syarikat merampas posisi pendahulu carta kedudukan pingat dengan kutipan 5 emas, 3 perak dan 8 gangsa, diikuti tuan rumah (4,2,4) dan Korea Selatan (3,4,3) di tempat ketiga.

Pada edisi yang sedang berlangsung hingga 27 Julai ini, Malaysia mengambil bahagian dalam enam daripada keseluruhan 19 jenis sukan dipertandingkan iaitu gimnastik, badminton, memanah, olahraga, renang dan taekwondo dengan penglibatan keseluruhan 64 atlet.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan